JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menunjukkan pingat perak dimenanginya dalam acara keirin lelaki di Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini. FOTO Bernama
JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menunjukkan pingat perak dimenanginya dalam acara keirin lelaki di Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu, hari ini. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Keputusan di temasya Olimpik Tokyo 2020 akan menjadi penanda aras kepada permulaan perancangan untuk terus mengejar misi emas pertama di Paris 2024 nanti.

Tempoh tiga tahun ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN) mengatur strategi dan perancangan terbaik merealisasikan impian emas.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, berdasarkan keputusan di Olimpik Tokyo 2020, sudah boleh dilihat kebangkitan atlet muda yang boleh menjadi penanda aras persediaan untuk Paris 2024.

"Kita ada atlet muda seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (badminton), Syaqiera Mashayikh (memanah), Azreen Nabila Alias (olahraga) bersama kombinasi atlet senior seperti Datuk Azizulhasni Awang, Pandelela Rinong yang memaklumkan akan terus beraksi di Olimpik.

"Tiga tahun saja lagi untuk ke Paris. Persiapan perlu di mula dari sekarang. Kita akan terus cuba untuk mendapatkan emas pertama. Saya harap ia dapat direalisasikan di Paris 2024 nanti," katanya.

Sementara itu, Norza berkata, prestasi semua atlet harus dipuji walaupun sukar, mereka tetap berusaha dan mencapai kejayaan membanggakan.

"Tahniah Azizul atas pingat perak. Tahniah juga kepada atlet yang berjuang bermati-matian atas nama negara di Tokyo 2020 ini.

"Sebagaimana yang semua maklum, Olimpik kali ini bukan temasya biasa, walaupun sukar mereka tetap memberi yang terbaik dan mencipta kejayaan membanggakan.

"Mujur dengan bantuan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan penganjur Olimpik Tokyo 2020 memberi kerjasama dan menyaksikan 30 atlet negara layak beraksi dan hingga kini semua atlet negara dalam keadaan selamat dan bebas Covid-19," katanya.

Malaysia menutup perjuangan di Olimpik Tokyo 2020 dengan memungut satu pingat perak dan satu gangsa, sekali gus mengulangi pencapaian dilakar di Atlanta 1996 dan London 2012.

Ia mengulangi pencapaian kedua terbaik kontinjen di Olimpik selepas lima tahun lalu meraih empat perak dan satu gangsa di Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 4:04 PM