PARIS 2024 bakal menjadi penampilan kelima Azizulhasni di pentas Olimpik. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
PARIS 2024 bakal menjadi penampilan kelima Azizulhasni di pentas Olimpik. FOTO FB AZIZULHASNI AWANG
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tidak terkejut dengan sasaran peribadi Datuk Azizulhasni Awang yang mengumumkan Jumaat lalu betapa dia mahukan pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut Hannah, Azizulhasni sudah meraih perak sebelum ini (di Tokyo 2020), jadi ia adalah sifat semula jadi buat atlet untuk mengubah warna pingat pada temasya berikutnya.

"Kalau tidak ada sasaran untuk pingat barulah saya berasa risau, seperti Azizulhasni saya tahu dia dahagakan pingat emas, saya harap semua atlet terutama yang berada dalam Program Road To Gold (RTG) mempunyai semangat yang sama sepertinya," kata Hannah selepas melancarkan Pertunjukan Science in Service of Medals di Universiti Malaya, hari ini.

Ujarnya, semua atlet dalam Program RTG diberikan bantuan tambahan untuk mempunyai peluang cerah meraih emas.

"Saya tidak mahu mengatakan bahawa mereka yang lain tidak berpeluang, tetapi dalam sukan apa sahaja boleh terjadi.

"Apa sahaja bantuan tambahan yang kita berikan kepada mereka termasuk dalam proses kelayakan diharap mampu memberikan aksi terbaik," katanya.

Azizulhasni sebelum ini mengakui hanyalah memikirkan mengenai pingat emas iaitu pingat yang belum pernah dimenanginya sepanjang lima kali menyertai Sukan Olimpik.

Menurut pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu, impiannya tetap sama selepas melayakkan diri ke Paris 2024, iaitu meraih emas buat kontinjen negara selepas membawa pulang gangsa di Rio 2016 dan perak pada 2021 di Tokyo.

Ujar pelumba kelahiran Terengganu itu, dia mahu melengkapkan perjalanannya dalam Olimpik iaitu dari gangsa, perak dan seterusnya emas.

Dalam acara berbasikal trek di Paris 2024 yang dijadual berlangsung di Velodrom Saint Quentin En Yvelines, Azizulhasni akan ditemani dua lagi pelumba negara iaitu Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Asri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 6:02 PM