AZIZULHASNI ketika bertemu pengamal media pada sidang media khas di Velodrom Nasional hari ini. FOTO BERNAMA
AZIZULHASNI ketika bertemu pengamal media pada sidang media khas di Velodrom Nasional hari ini. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Nilai: Tidak ada perkara lain dalam fikiran Datuk Azizulhasni Awang sekarang ini hanyalah emas iaitu pingat yang belum pernah dimenanginya sepanjang lima kali menyertai Sukan Olimpik.

Menurut pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu, impiannya tetap sama selepas melayakkan diri ke Paris 2024, iaitu meraih emas buat kontinjen negara selepas membawa pulang gangsa di Rio 2016 dan perak pada 2021 di Tokyo.

"Bagi saya sendiri, saya mempunyai sasaran peribadi dan sudah pastinya emas. Bagi saya, saya menghormati keputusan dan perancangan pasukan, tidak kira apapun sasaran yang mereka letakkan," katanya dalam sidang media Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) di Velodrom Nasional, Nilai hari ini.

Ujar pelumba kelahiran Terengganu itu, dia mahu melengkapkan perjalanannya dalam Olimpik iaitu dari gangsa, perak dan seterusnya emas.

Dalam berbasikal trek Paris 2024 yang dijadual berlangsung di Velodrom Saint Quentin En Yvelines, Azizulhasni akan ditemani dua lagi pelumba negara iaitu Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Asri.

Ditanya mengenai Program Road To Gold (RTG), juara dunia 2017 itu berkata, semua barisan atlet yang berada dalam program berkenaan harus menunjukkan prestasi lebih 100 peratus.

"Kalau tanya mengenai RTG, semua adalah sandaran kerana itulah tujuan utama program berkenaan ditubuhkan kerana semua dapat elaun secara sama-rata dan dapat servis tambahan mengikut apa yang mereka perlukan.

"Semua dalam RTG ini kena berikan terbaik kerana mereka dalam program ini bukan sekadar medal tetapi pingat emas. Bila kita sudah dalam program kita kena buat terbaiklah. Capai prestasi ataupun tidak itu cerita lain tetapi mereka kena beri 110 peratus dari latihan hinggalah di Olimpik," katanya.

Ketika di Tokyo, Azizulhasni dilihat mempunyai peluang cerah untuk merangkul emas namun terkesan dengan tindakan pelumba Australia, Matthew Glaetzer yang tidak melakukan gerakan mengejar jaguh Britain, Jason Kenny.

Ia memusnahkan harapan Azizulhasni yang sekadar meraih perak, tatkala Kenny berjaya meraih emas hasil pecutan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 5:03 PM