PRESIDEN MOM, Norza Zakaria. -FOTO Asyraf Hamzah
PRESIDEN MOM, Norza Zakaria. -FOTO Asyraf Hamzah
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria mengharapkan impian menggenggam emas pertama di Olimpik menjadi kenyataan menerusi peruntukan disediakan kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Norza berkata, peruntukan RM72 juta untuk memperkukuhkan ekosistem atlet dengan RM20 juta daripadanya disalurkan kepada program Road to Gold (RTG) memberi peluang dan ruang kepada atlet menyertai lebih banyak kejohanan peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, bantuan kewangan daripada kerajaan amat penting bagi memastikan segala gerak kerja untuk memperoleh emas pertama di Olimpik dapat direalisasikan di Paris tahun depan.

"Kami mengalu-alukan keprihatinan kerajaan dalam memberi peruntukan yang lebih besar kepada podium dan peruntukan spesifik kepada RTG. Ia akan memberi peluang yang besar dalam membiayai program latihan dan pertandingan.

"Paling penting adalah memastikan lebih ramai atlet negara berjaya melayakkan diri ke Olimpik," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan 2024 Malaysia Madani mengumumkan RM72 juta bagi memperkukuhkan ekosistem atlet yang berada di bawah program podium.

Malah, RM20 juta daripada peruntukan yang disediakan itu akan dibelanjakan khusus kepada inisiatif RTG dalam usaha merealisasikan impian menggenggam emas pertama negara terutamanya di pentas Olimpik Paris 2024.

RTG adalah jawatankuasa khas yang dibentuk bagi memantau prestasi atlet elit yang dikenal pasti sebagai prospek pingat di temasya Sukan Olimpik ke-33 di Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Ia dipengerusikan bersama oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Norza.

"Peruntukan khas untuk RTG akan digunakan bagi membiayai program latihan dan pertandingan dengan tumpuan kepada usaha memastikan kelompok atlet lebih besar layak ke Paris, sekali gus meluaskan prospek Kontinjen Negara untuk menggapai pingat emas.

"Kerajaan juga meneruskan dasar menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi untuk badan sukan dan sektor swasta menerusi geran padanan RM50 juta serta mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan sehingga RM1,000.

"Adalah jelas bahawa Kerajaan mengambil kira kehendak dan keperluan semua lapisan masyarakat sukan dalam menyemarakkan arena sukan negara," kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:35 PM