AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI AWANG
Ferzalfie Fauzi


“SAYA sahut cabaran yang diberikan untuk membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020,” kata pelumba berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang selepas dia dilabel sebagai atlet yang mampu menghadirkan emas pertama negara di temasya berkenaan.

Bagaimanapun, dengan nada merendah diri, pelumba berusia 31 tahun itu mengaku setiap atlet yang layak ke Olimpik Tokyo secara merit juga berpotensi untuk meraih emas.

“Memang misi saya secara peribadi untuk membawa balik emas selepas meraih gangsa di Olimpik Rio (2016) namun jika ditanya setiap daripada mereka (atlet lain), saya percaya mereka semua ingin memenangi pingat emas di temasya itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pelumba yang terkenal dengan nama gelaran The Pocket Rocketman itu berkata, jika tumpuan hanya diberikan kepada atlet tertentu, ia umpama satu penghinaan terhadap atlet lain.

“Atlet lain juga bersusah payah melayakkan diri ke Olimpik, tambahan pula jumlah atlet yang layak (Malaysia) adalah tidak ramai.

“Suka atau tidak, setiap atlet yang layak, harus ke Sukan Olimpik dengan misi untuk merealisasikan pingat emas pertama negara,” katanya yang meraih emas di Kejohanan Trek Dunia 2017.

Pelumba kelahiran Terengganu itu mengaku bermula daripada penampilan di Beijing (2008), London (2012) dan juga Rio, misinya hanyalah untuk membawa pulang pingat emas.

“Begitu juga setiap kali saya beraksi pada mana-mana kejohanan, setiap kali saya bertanding saya mahu menang dan saya percaya kita harus menanam sikap itu kepada setiap atlet,” kata Azizulhasni.

Kelmarin, bekas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, berdasarkan ranking, atlet yang dijangka mampu menyumbang emas sulung Sukan Olimpik di Tokyo 2020 ialah Azizulhasni, diikuti acara terjun dan badminton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:02 AM