IZZAT Hilmi menduduki tempat ketiga perlumbaan Jelajah Thailand, hari ini. FOTO MPC
IZZAT Hilmi menduduki tempat ketiga perlumbaan Jelajah Thailand, hari ini. FOTO MPC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Izzat Hilmi Abdul Halil menghadiahkan podium pertama untuk pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC) di pentas antarabangsa.

Ia selepas dia mengakhiri perlumbaan di tempat ketiga pada peringkat pertama Jelajah Thailand sejauh 131 kilometer (km) dari Phitsanulok ke Sukhothai Historical Park, hari ini.

Prinsipal MPC, Sayuti Zahit optimis pasukan itu mampu meraih lebih banyak kejayaan podium pada peringkat seterusnya.

"Ia adalah permulaan hebat pasukan dan Izzat dan berdasarkan prestasinya hari ini, kami percaya dia mampu meraih lebih banyak podium dalam jelajah kali ini.

"Ada sekurang-kurangnya dua atau tiga lagi peringkat yang sesuai untuknya di sini.

"Malangnya tiga pelumba kami mengalami kemalangan hari ini, namun mereka bernasib baik kerana tidak cedera serius dan boleh beraksi di peringkat kedua esok," kata Sayuti.

Perlumbaan peringkat pertama itu diungguli pelumba pasukan Roojai Insurance, Lucas Carstensen dengan catatan masa 3 jam 16 saat manakala LX Cycling Team, Park Sang-hong berada di tempat kedua.

Peringkat kedua esok akan bermula dan berakhir di Sukhothai Historical Park sejauh 202.3km.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 6:16 PM