BARISAN pelumba MPC yang akan beraksi di Tour Gateh d’Tranung. FOTO Ihsan Malaysia Pro Cycling
BARISAN pelumba MPC yang akan beraksi di Tour Gateh d’Tranung. FOTO Ihsan Malaysia Pro Cycling
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Ujian pertama bakal diharungi pasukan baharu, Malaysia Pro Cycling (MPC) yang akan tampil beraksi di Tour Gateh d'Tranung dekat Kuala Terengganu bermula esok.

Pengarah pasukan MPC, Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata, objektif utama pasukan yang dijenamakan semula daripada Team Sapura Cycling (TSC) itu adalah untuk membentuk keserasian di kalangan pelumba selain melihat potensi yang ada pada barisan pelumba baharu.

"MPC mengambil pendekatan baharu dengan mengambil beberapa pelumba basikal bukit (MTB) untuk mewakili pasukan pada musim ini.

"Mereka menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dalam beberapa siri perlumbaan kriterium baru-baru ini dan kami percaya mereka ada potensi untuk pergi jauh dalam acara lumba basikal lebuh raya dengan bimbingan dan sokongan yang secukupnya," katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Sayuti, mereka menyenaraikan tiga pelumba MTB iaitu Ahmad Syazrin Awang Ilah, Muhammad Syawal Mazlin dan Muhammad Zahin Wahi untuk cabaran Tour Gateh d'Tranung.

"Ahmad Syazrin dan Syawal sudah mewakili Malaysia dalam acara MTB di Sukan Sea Kemboja pada Mei lalu.

"Tiga lagi pelumba iaitu Muhammad Faiz Fakhri Omar, Muhamad Saari Amri Abd Rasim dan Akmal Hakim Zakaria adalah bekas pelumba Team Sapura Cycling.

"Sasaran kami adalah untuk berada di atas podium yang kami akan cuba capai melalui pakar pecut, Ahmad Syazrin. Dia juga mampu bersaing di zon pendakian.

"Kami jangkakan saingan cukup sengit di Tour Gateh d'Tranung kerana ramai pelumba kebangsaan dan bekas pelumba kebangsaan akan bersaing untuk kelab atau negeri masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 8:56 PM