Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman jadi sandaran pasukannya di LTdL.
Pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman jadi sandaran pasukannya di LTdL.
Azlan Muhammad Zain


PERSIAPAN rapi sejak tiga bulan lalu, meletakkan pasukan benua tempatan, Team Sapura Cycling (TSC) lebih bersedia menghadapi edisi ke-24 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang bakal membuka tirai dari 6 hingga 13 April ini.

Pengurusnya, Sayuti Zahit berkata, pasukannya fokus kepada jersi kuning (kategori individu keseluruhan) selain jersi pelumba terbaik Asia menerusi tiga pelumba muda yang akan diturunkan dalam jelajah lapan peringkat perlumbaan itu.

Menurut bekas pelumba kebangsaan itu, peringkat keempat dari Shah Alam ke Genting Highlands amat penting dalam perancangan dan strategi TSC untuk merealisasikan impian besar mereka dengan 2019 menjadi tahun ketiga bergelar pasukan benua.

"Kami berharap dapat memberi saingan terutama di peringkat penting ke Genting Highlands yang seterusnya akan mencorakkan strategi pasukan.

Buat masa ini, kami akan mengambil pendekatan satu peringkat ke satu peringkat dan berharap enam pelumba yang disenaraikan kali ini, dapat memikul tugas dan peranan yang diberikan setiap hari.

"Ketika ini, kami menduduki senarai teratas pasukan bagi Jelajah Asia dan saya berharap posisi ini dapat dikekalkan selepas tamat LTdL 2019 serta penghujung tahun ini," kata Sayuti.

Tiga pelumba Australia menggalas cabaran TSC diketuai Benjamin Dyball, Jesse Ewart dan Cristian Relianue selain tiga pelumba tempatan iaitu Muhamad Zawawi Azman, Muhamad Nur Aiman Zariff dan Akmal Hakim Zakaria.

Dyball menjadi pertaruhan terbaik kerana bekas pelumba St George Continental Team itu menduduki tempat kedua di belakang pemenang jersi kuning LTdL 2018 dari Terengganu Cycling Team (TSG), Artem Ovechkin di Cameron Highlands dan ketiga keseluruhan di akhir LTdL 2018, di belakang Ovechkin dan pelumba CCC Sprandi Polkowice, Lukasz Owsian.

Kelibat Dyball juga bukan asing dalam perlumbaan di Asia apabila menjuarai jersi kuning di International Tour de Banyuwangi, Ijen dan Piala Puteri Maha Sirindhorn Jelajah Thailand, selain tempat kedua keseluruhan di Tour of Fuzhou dan Tour of Taihu Lake.

Malah, dia dijangka tampil dengan lebih berkeyakinan bersama Sapura kerana masih segar dengan kejayaan memenangi gelaran juara lebuh raya dan ujian masa individu Kejohanan Berbasikal Oceania pada pertengahan Mac ini, sebelum menduduki tempat ketiga keseluruhan dalam Tour de Tochigi di Jepun, minggu lalu.

"Kami berharap Dyball dan Muhamad Zawawi mampu memberi saingan dalam perebutan jersi kuning terutama di Genting Highlands manakala Nur Aiman pula mampu melakukan sesuatu dalam kategori pelumba terbaik Asia," kata Sayuti.

LTdL 2019 akan bermula dengan peringkat pertama dari Kuala Lumpur ke Tampin sejauh 176.9km dan berakhir dengan Loop Dataran Lang-Kuah di Langkawi sejauh 103.8km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2019 @ 10:10 PM