BARISAN pelumba MPC cemerlang di Jelajah Thailand. -FOTO Ihsan MPC
BARISAN pelumba MPC cemerlang di Jelajah Thailand. -FOTO Ihsan MPC
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pastinya Aidilfitri tahun ini memberi seribu makna buat barisan pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC) yang menerima ganjaran lumayan berjumlah RM32,000 sebagai bonus hari raya.

Prinsipal pasukan MPC, Sayuti Zahit, pembayaran itu adalah sebagai pengiktirafan kepada prestasi mantap pasukan itu pada Jelajah Thailand yang berakhir pada Sabtu lalu.

Pelumba MPC menamatkan saingan di podium dalam empat daripada enam peringkat jelajah UCI 2.1.

Tiga daripadanya diraih pelumba pecut Izzat Hilmi Abdul Halim yang kemudiannya menerima bonus RM7,000 daripada pasukan.

"Ia adalah satu kejutan. Saya mahu mengejutkan barisan pelumba kami dengan bonus itu selepas beraksi dengan baik di Jelajah Thailand," kata Sayuti.

"Kami mahu mereka merasakan kerja keras mereka dihargai dan juga mendorong mereka untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam perlumbaan masa depan."

MPC ditubuhkan pada Ogos tahun lalu dan adalah pengganti pasukan Sapura Cycling Team (TSC) yang terpaksa dibubarkan selepas gagal mendapatkan penaja baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 12:35 PM