IZZAT meraikan kejayaan membawa pulang jersi hijau selaku Raja Pecut. FOTO Ihsan MPC
IZZAT meraikan kejayaan membawa pulang jersi hijau selaku Raja Pecut. FOTO Ihsan MPC
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Izzat Hilmi Abdul Halil menyempurnakan penampilan sulung cemerlang bersama Malaysia Pro Cycling (MPC) dengan membawa pulang jersi hijau selaku Raja Pecut keseluruhan Tour of Thailand (ToT) 2024.

Dia menamatkan peringkat keenam dan terakhir hari ini di tempat kedua di belakang pelumba St George Continental, Nick Kergozou yang menang dengan catatan masa empat jam, 25 minit dan 47 saat (s).

Aidan Mendoza dari Go For Gold Filipina mendapat tempat ketiga dalam penamat beramai-ramai.

Pelumba pasukan kebangsaan, Iqbal Daniel Nawawi adalah satu-satunya pelumba Malaysia yang berada dalam kelompok 10 terbaik apabila pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Irwandie Lakasek terbabit dalam kemalangan kurang 1 kilometer (km) dari penamat.

Peringkat keenam bermula di Phichit dan berakhir di Taman Bersejarah Si Thep sejauh 190.8km, laluan kedua terpanjang dalam perlumbaan berkenaan.

Prinsipal MPC, Sayuti Zahit berkata, ia permulaan terbaik untuk menamatkan jelajah peringkat UCI pertama mereka sejak pasukan itu dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

MPC ialah pengganti kepada Sapura Cycling Team (TSC) dan Izzat menyertai pasukan pada Januari lalu.

"Kami mahu beraksi untuk meraih kemenangan peringkat hari ini dan benar-benar hampir untuk mencapainya," kata Sayuti.

"Kami, bagaimanapun, masih sangat gembira untuk tampil dengan satu lagi penamat podium dan juga mendapatkan jersi hijau.

"Ia adalah cara yang positif untuk menamatkan jelajah dengan empat penamat podium di sini," katanya lagi.

Izzat Hilmi mengumpul 46 mata diikuti pelumba Thailand Continental Team, Sarawut Sironnachai, 43 mata dan Van Engelen 35 mata.

Zulfikri Zulkifli, Syawal Mazlin dan Fahmi Khairul dari MPC menduduki tempat ketiga, keempat dan kelima pada peringkat kelima semalam.

Van Engelen merangkul jersi kuning (juara keseluruhan) dengan mengumpul catatan msa 22:20:32s.

Thanakhan Chaiyasombat dari pasukan Thailand Continental Team (+9s) di kedudukan kedua dan diikuti Anatolii Budiak dari TSG (+12s) di tempat ketiga keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 8:59 PM