RIDWAN (kanan) duduki tempat ke-30 acara pecut dengan catatan 10.027s.
RIDWAN (kanan) duduki tempat ke-30 acara pecut dengan catatan 10.027s.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun gagal membawa pulang sebarang pingat di Piala Negara-Negara UCI, Hong Kong namun ada peningkatan positif buat barisan pelumba negara seperti Muhammad Ridwan Sahrom.

Adik kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila merekodkan catatan masa terbaik peribadinya dalam acara pecut individu.

Pengarah teknikal berbasikal negara, John Beasley berkata, perkara itu jelas menunjukkan betapa atlet negara memerlukan lebih banyak perlumbaan bagi terus relevan dalam persaingan antarabangsa.

"Saya gembira melihat perkembangan Ridwan. Ada peningkatan dalam acara pecut walaupun dia gagal melepasi pusingan kelayakan.

"Dia hanya kurang perlumbaan dan sepatutnya dia berlumba dalam kejohanan kelas satu di Melbourne pada Disember dan Piala Negara-Negara di Adelaide namun malangnya dia tidak mendapat visa.

"Apapun ia satu perkembangan positif untuk masa hadapan dan saya gembira dengan peningkatan di pamerkan," katanya.

Terdahulu di Hong Kong, Ridwan terkandas dalam acara pecut di pusingan kelayakan apabila menduduki tangga ke-30 dengan catatan 10.027s.

Ridwan yang turun bersama Shah Firdaus turut gagal meraih pingat dalam acara keirin apabila masing-masing terkandas di pusingan pertama repechage.

Sementara itu Beasley turut memuji kayuhan pelumba wanita negara yang juga juara Asia dalam acara keirin, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.

Izzah kini menjadi taruhan negara untuk temasya Olimpik Los Angeles 2028 yang mana penyertaan di Piala Negara-Negara sebagai satu pendedahan baik buat pelumba berusia 20 tahun itu dalam pertandingan kompetitif.

Untuk rekod, Izzah mula mencuri tumpuan selepas dia mencipta kejutan memenangi emas dalam acara 500m ujian masa ACC 2022 di New Delhi pada usianya 19 tahun.

Bagaimanapun, dia gagal mempertahankan kejuaraan pada edisi tahun lalu di Nilai apabila terpaksa berpuas hati dengan perak.

Namun dia bangkit dengan dua emas di ACC New Delhi baru-baru ini dalam acara keirin dan 500m ujian masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mac 2024 @ 2:26 PM