DHABITAH ketika beraksi di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO BERNAMA
DHABITAH ketika beraksi di Sukan Olimpik Tokyo. FOTO BERNAMA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri mengakui terbeban memikul tanggungjawab beraksi tiga acara sewaktu bersaing Kejohanan Akuatik Dunia di Doha minggu lalu.

Menurutnya, skuad terjun negara tidak boleh mengharapkan kudratnya semata-mata selepas dan dia sangat tertekan kerana bersaing dalam tiga acara sehingga menyebabkan tumpuannya terganggu.

"Saya akui sangat sedih kerana tidak layak ke Paris dan memang agak tertekan kerana saya main tiga acara. Jadi, saya tak boleh fokus betul-betul dalam acara saya. Kemudian saya alami kecederaan dan lagi sakit hati kerana tidak dapat memberikan terbaik," katanya.

Ujarnya, dia berpandangan usianya yang semakin meningkat naik juga menyebabkan dia cenderung terpalit dengan masalah kecederaan.

"Sejujurnya, ketika di Doha saya berurusan dengan kecederaan dan beraksi dengan tiga acara berbeza. Atas faktor kecederaan itu, saya akui tidak boleh kawal sebab sangat sukar.

"Saya alami kecederaan lengan 'triceps' tertarik dan ia berlaku sewaktu latihan acara 10 meter (m). Selepas dihimpit kecederaan itu, saya tak larat nak peluk kaki dan juga tak boleh nak lakukan terjunan hingga tangan saya juga lebam.

"Jika ikut perancangan saya mahu beraksi dalam acara 10m platform seirama, 3m individu tetapi jurulatih cakap acara 3m seirama ada harapan (Olimpik Paris), jadi saya ikut cakap jurulatih dan akhirnya keputusan berakhir seperti ini.

"Bagi saya kita perlukan 'junior' selepas ini kerana selepas Wendy Ng kita memang tidak ada lagi atlet seterusnya. Takkan nak harapkan saya seorang buat semua. Jadi, kehadiran atlet baharu penting dan itu saya harapkan selepas ini," katanya.

Penerjun berusia 24 tahun itu berharap sesuatu perubahan perlu berlaku dalam skuad terjun negara terutama merapatkan jurang antara atlet senior dan pelapis agar Sukan Olimpik 2028 akan datang dia tidak terbeban dengan perkara itu sekali lagi.

Dalam pada itu, Dhabitah turut meluahkan sekiranya bekas jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker berada bersama mereka di Doha pasti perkara sebaliknya berlaku.

"Bagi pihak saya, kalau Brooker masih ada ia pasti akan menjadi lain. Jadi ia di luar kawalan, mahu atau tidak, anda perlu bekerja dengannya dan jika anda tidak boleh bekerja, anda kena mencari jalan lain untuk menjayakannya.

Brooker yang juga jurulatih kelahiran Australia dibawa masuk mengendalikan skuad terjun negara pada Disember 2017 bagi menggantikan jurulatih China, Yang Zhuliang.

Bagaimanapun, kontrak Brooker tidak disambung sejurus tamat kempen Sukan Olimpik Tokyo susulan skuad terjun negara gagal meraih sebarang pingat.

"Jadi, benda sudah berlaku dan kita perlu teruskan serta buat terbaik pada masa akan datang. Masa tidak boleh diputarkan semula dan harapan kini adalah melakukan yang terbaik untuk masa hadapan," kata Dhabitah.

Ketika ini, skuad terjun negara dilatih oleh dua jurulatih China iaitu Li Rui dan Jia Ning serta jurulatih tempatan, Datuk Leong Mun Yee sambil dipantau pengarah teknikal, Bryan Nickson Lomas dan Khairul Safwan Mansur sebagai pengarah prestasi tinggi.

Kegagalan skuad terjun negara di Doha juga bermakna Malaysia terpaksa bergantung harap kepada Betrand Rhodict Lises sahaja sebagai wakil tunggal negara di Sukan Olimpik Paris Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 8:11 PM