Kuala Lumpur: Tidak tersenarai antara atlet bakal beraksi pada temasya Olimpik Rio Ogos ini pastinya menerbitkan rasa kecewa buat penerjun negara Ahmad Amsyar Azman.

Bagaimanapun, ia bukan penamat kariernya yang dikhabarkan bakal mengambil alih slot Ooi Tze Liang dalam acara 3 meter papan anjal di temasya terbesar itu.

Bagi Amsyar seandainya diberi peluang Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, dia akan cuba memberi yang terbaik.

“Saya ada dimaklumkan mengenai tugas mengambil alih tempat Tze Liang, memang rasa gembira kerana diberi kepercayaan. Tapi sebenarnya agak berat juga selain berasa sedikit tekanan kerana saya mengambil tempat orang, bukan hasil usaha saya sendiri.

“Jadi, apa yang boleh dikatakan saya akan cuba yang terbaik untuk negara,” katanya.

Sebagai persediaan, Amsyar dan bersama skuad terjun negara yang lain dijangka menyertai beberapa kejohanan sebagai pemanas badan sebelum temasya bermula.

Dia bersama skuad terjun yang lain dijangka berangkat ke China minggu depan bagi menjalani latihan pusat selepas Kompleks Akuatik Nasional sedang dalam proses menaik taraf.

Ditanya apa yang perlu diperbaiki bagi memantapkan terjunan, Amsyar berkata, kelemahan utama adalah dari segi mental dan rohani.

Skuad terjun negara akan dibarisi lima penerjun yang beraksi dalam tujuh acara.

Mereka yang sudah mengesahkan tempat ke Rio itu membabitkan Pandelela Rinong (10m platform individu, 10m terjun seirama), Wendy Ng (3m papan anjal individu), Nur Dhabitah Sabri (10m platform individu, 3m terjun seirama), Cheong Jun Hoong (10m terjun seirama, 3m terjun individu dan seirama) dan Tze Liang (10m platform dan 3m papan anjal individu).

Empat tahun lalu, seramai lapan atlet negara layak ke Olimpik menerusi tujuh acara iaitu 3m terjun seirama lelaki dan wanita, 10m terjun seirama lelaki dan wanita, 3m papan anjal individu lelaki dan wanita dan 10m platform individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 7:58 AM