AKSI Dhabitah, hari ini. FOTO REUTERS
AKSI Dhabitah, hari ini. FOTO REUTERS
Fabian Peter


Hangzhou: Tiga hari berturut-turut bersaing dalam acara berbeza mendatangkan kesan terhadap penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri.

Atlet berusia 24 tahun itu terlepas pingat ketiga di Sukan Asia Hangzhou apabila berkedudukan keempat acara 1 meter papan anjal sebentar tadi.

Dhabitah, yang dijangka mampu menghadirkan kilauan gangsa disingkirkan pemenang pingat gangsa temasya 2018 di Jakarta-Palembang, Kim Su Ji dari Korea Selatan pada terjunan kelima dan terakhir.

Dhabitah yang sudah menang perak bersama Wendy Ng dalam acara 3m papan anjal seirama semalam dan gangsa bersama Pandelela Rinong 10m platform seirama Sabtu lalu mencatat 261.85 mata untuk kedudukan kelima di belakang Su Ji (267.10).

Bekas juara dunia, Li Yajie dari China meraih emas dengan 317.55 mata manakala rakan senegara yang juga juara dunia, Lin Shan (303.80) perak.

"Saya tahu saya boleh lakukan lebih baik, tapi sejak permulaan acara terjun saya bertarung setiap hari, dalam tiga acara.

"Badan saya keletihan, dan saya tidak dapat pemulihan secukupnya. Ia memberi tekanan.

"Saya tidak menjangkakan sesuatu yang lebih baik dan hanya melakukan apa yang terdaya tanpa sebarang sesalan" kata Dhabitah yang menang tiga pingat (dua gangsa dan satu perak) pada temasya lima tahun lalu.

Dhabitah juga mengesahkan dia tidak akan menyertai acara 3m papan anjal Rabu ini sekali gus menyaksikan Kimberly Bong sebagai wakil tunggal negara dalam acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 7:50 PM