FURY terpaksa menangguhkan pertemuan menentang Usyk kerana mengalami kecederaan serius di atas matanya. -FOTO AFP
FURY terpaksa menangguhkan pertemuan menentang Usyk kerana mengalami kecederaan serius di atas matanya. -FOTO AFP
AFP

London: Pertarungan perebutan gelaran heavyweight dunia antara Tyson Fury dengan Oleksandr Usyk yang ditangguhkan sebelum ini diatur semula pada 18 Mei di Arab Saudi, menurut penganjur pertarungan itu.

Fury sepatutnya menentang Usyk untuk perebutan mahkota gelaran itu pada 17 Februari di Riyadh.

Tetapi pertarungan yang dinanti-nantikan terpaksa ditangguhkan minggu ini selepas peninju Britain itu mengalami kecederaan serius di atas matanya ketika latihan.

Tarikh baharu itu didedahkan dalam satu kenyataan daripada Promosi Queensbury di laman X: "Pertarungan kejuaraan heavyweight antara @Tyson_Fury dan @usykaa dijadualkan semula pada 18 Mei di Riyadh."

Fury yang berusia 35 tahun memerlukan 11 jahitan pada luka, menimbulkan keraguan sama ada pertarungan boleh berlaku dalam jangka terdekat ini.

Pasukan Usyk dilaporkan menerima tawaran pertarungan dengan peninju Croatia, Filip Hrgovic sebagai ganti.

Namun pengumuman yang dibuat semalam mengesahkan kembali pertarungan antara Fury dan warga Ukraine berusia 37 tahun itu.

Usyk kini memegang gelaran WBO, WBA dan IBF, dengan Fury juara WBC pada masa ini.

Fury sudahpun memenangi 34 pertarungan dengan satu keputusan seri sejak beralih kepada profesional pada 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 10:52 AM