USYK serius menghadapi perlawanan dengan Fury. -FOTO AFP
USYK serius menghadapi perlawanan dengan Fury. -FOTO AFP
Reuters

Gandia, Sepanyol: Juara dunia Oleksandr Usyk mendedahkan yang dia terpaksa melepaskan peluang untuk melihat anak perempuannya melahirkan anak kerana perlu berlatih untuk pertarungan perebutan gelaran heavyweight menentang Tyson Fury yang ditangguhkan selepas peninju Britain itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Pertarungan di Riyadh yang pada asalnya berlangsung 23 Disember dan kemudian ditetapkan pada 17 Februari tapi akhirnya dijadualkan semula untuk berlangsung di Arab Saudi pada 18 Mei.

Pertembungan "Ring of Fire" menemukan bekas juara kelas heavyweight WBC, Fury bersama pemegang tali pinggang WBA, IBF, WBO dan IBO milik peninju Ukraine Usyk, akan menobatkan juara tinju heavyweight pertama sejak 1999.

Usyk memberitahu pemberita dalam sidang media di kem latihannya di pantai timur Sepanyol bahawa dia banyak berkorban untuk mempersiapkan diri menghadapi pertarungan itu dan Fury harus mengambil pertarungan dengan lebih serius.

"Saya mengorbankan banyak perkara yang sepatutnya saya gunakan bersama keluarga saya; Tahun Baru, Krismas, hari lahir saya, hari lahir anak lelaki saya, hari lahir anak kedua saya, dan sudah tentu kelahiran anak perempuan saya," katanya.

Usyk berkata, dia kini akan menghabiskan dua atau tiga hari di rumah, untuk memeluk anak perempuannya dan bersama isterinya, sebelum kembali menjalani latihan.

Dia berkata dia sedang berlatih di gelanggang apabila dia diberitahu tentang penangguhan terbaru dan mempersoalkan kaedah latihan Fury.

"Saya tidak menghakimi sesiapa, tetapi kita perlu melayan perkara ini dengan lebih serius. Ini adalah perjuangan yang sangat penting dan dinanti-nantikan oleh seluruh dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 11:33 AM