NURUL Afiqah (tengah) meraikan kejayaan memenangi pingat emas bersama kontinjen Terengganu.
NURUL Afiqah (tengah) meraikan kejayaan memenangi pingat emas bersama kontinjen Terengganu.
Saiful Affendy Sapran


Putrajaya: "Alhamdulillah, hari ini saya ambil semula pingat yang ditarik balik pada 2018."

Demikian perkongsian rasa gembira atlet angkat berat Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri apabila meraih pingat emas dalam kategori 45 kilogram (kg), hari ini, selepas melalui detik hitam di Sukan Malaysia (Sukma) Perak, empat tahun lalu.

Ketika itu, Nurul Afiqah yang beraksi dalam kategori 48kg mengutip satu pingat emas acara clean and jerk dengan angkatan 81kg dan satu gangsa dalam acara snatch dengan angkatan 62kg.

Bagaimanapun, pingat emas dan gangsa diraihnya tidak kekal lama apabila ditarik balik penganjur kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang jenis methylexanamine sebelum digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

"Sudah tentu saya sangat gembira hari ini dan kemenangan ini amat bermakna.

"Saya hadiahkan kemenangan ini untuk keluarga dan rakan yang sentiasa memberi sokongan kepada saya," katanya.

Nurul Afiqah melakukan angkatan keseluruhan 136kg selepas merekodkan angkatan 55kg untuk snatch dan 80kg bagi clean & jerk yang sepatutnya memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 77kg yang dilakukan pada temasya Sukan Sea Filipina 2019.

Bagaimanapun, ketika ini rekod kebangsaan itu tidak diiktiraf apabila PABM menarik diri daripada mengendalikan sukan angkat berat di Sukma 2022.

Ditanya berhubung perkara itu, Nurul Afiqah berharap Majlis Sukan Negara (MSN) dan PABM dapat mengadakan perbincangan untuk mengiktiraf rekodnya itu.

"Memang rasa sedih, tapi saya sudah buat yang terbaik. Saya akan terus berusaha beraksi lebih baik lagi selepas ini," katanya.

Sukma 2022 adalah penampilan terakhir Nurul Afiqah selepas melakukan penampilan kali pertama di Sukma Sarawak 2016 yang menyaksikannya meraih pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 5:39 PM