BANGUNAN Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil. FOTO NSTP
BANGUNAN Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Misi utama Majlis Sukan Negara (MSN) sekarang ini ialah melihat beberapa penambahbaikan termasuk meneliti dan meminda Akta Majlis Sukan Negara 1971.

Menurut Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub perkara itu perlu dilakukan bagi membolehkan akta berkenaan lebih bersifat terkini dan semasa.

"Beberapa perubahan akan cuba tambah baik, antaranya kita akan melihat Akta Majlis Sukan Negara. Pindaan ini (pasti) akan memakan masa. Kita pernah mulakan pindaan ini tetapi ia terhenti di tengah jalan dan kita akan melihat kembali kerana ia agak lama," kata Rashid ketika ditemui media selepas Majlis Berbuka Puasa bersama warga sukan, semalam.

Ujar beliau yang baharu disambung kontrak perkhidmatan sehingga April tahun depan, MSN juga akan turut meminda beberapa Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan lagi urusan penyaluran peruntukan seperti kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK).

"Kita akan menjalankan usaha meminda beberapa SOP dalaman bagi memudahkan lagi penyaluran peruntukan kepada pihak PSK dalam melaksanakan program pembangunan sukan termasuk podium, pelapis kebangsaan, bakat dan sebagainya.

"Beberapa pindaan seperti peruntukan selepas ini, InsyaAllah peruntukan yang diberikan kepada pihak persatuan boleh diaudit oleh pihak MSN. Kita akan adakan perjanjian antara MSN dan persatuan sukan bagi sebarang peruntukan diberikan," katanya.

Tambahnya, MSN akan meminta supaya persatuan dapat membuka satu akaun berasingan bagi memasukkan apa-apa bantuan diterima daripada kerajaan supaya memudahkan urusan mengawal selia dan melihat peruntukan diberikan oleh kerajaan kepada pihak persatuan sukan kebangsaan.

Dalam pada itu, Rashid yang mula memimpin MSN pada November tahun lalu bagi menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, pelantikannya untuk terus menerajui MSN sehingga April tahun depan itu akan meneruskan usaha kesinambungan menuju Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024, tidak lama lagi.

"Salah satu perkara utama... tidak elok atau tidak molek menukar kepimpinan dengan kehadiran dua temasya besar pada Julai dan September ini iaitu Olimpik dan Paralimpik. Sememangnya kita sudah bersedia sejak dulu lagi, cuma persiapan akhir ini sangat penting.

"Banyak persiapan yang sudah dibuat, mungkin sebahagiannya belum sampai maksima lagi tetapi kita menuju ke arah itu. Yang penting kita dapat sediakan atlet dan jurulatih dalam situasi terbaik untuk memberi cabaran di peringkat tertinggi dunia," katanya.

Ujar Rashid, mereka akan cuba memastikan atlet mampu memberikan persembahan sepenuhnya dan mungkin lebih 100 peratus.

"Kita memang berharap sangat (atlet) memberikan persembahan terbaik dan kalau ada rezeki, harap dapat pingat emas diidamkan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 4:13 PM