HANNAH Yeoh (depan dua, kiri) ketika sesi fotografi selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
HANNAH Yeoh (depan dua, kiri) ketika sesi fotografi selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil inisiatif memperkenalkan semula penyaluran peruntukan kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) bermula bulan ini melalui kaedah empowerment (pemberian kuasa) bagi memudahkan persatuan sukan merancang aktiviti tahunan mereka.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pihak PSK secara dasarnya bersetuju dengan beberapa syarat ditetapkan pengurusan MSN dalam menguruskan peruntukan kewangan bagi Program Podium dan Pelapis Kebangsaan membabitkan atlet mereka.

PSK kini memainkan peranan lebih penting dalam mengendalikan pengurusan kewangan untuk persatuan masing-masing.

Pada peringkat awal, MSN mengenal pasti 19 PSK untuk menandatangani perjanjian supaya kaedah empowerment bagi penyaluran bantuan kewangan dapat dilaksanakan.

"Pertama, mereka perlu menandatangani perjanjian yang dilaksanakan pagi ini. Kedua, Persatuan Sukan Kebangsaan mesti mewujudkan akaun khas (akaun kedua) bagi penerimaan peruntukan kewangan Majlis Sukan Negara supaya akaun itu senang diaudit. Ketiga, membenarkan akaun itu diaudit juruaudit dilantik Masjid Sukan Negara," katanya.

"Kaedah empowerment ini akan mula dilaksanakan pada Jun tahun ini di mana peruntukan kewangan akan disalurkan berdasarkan perancangan latihan dipersetujui Majlis Sukan Negara dan Persatuan Sukan Kebangsaan.

"Penyaluran geran kewangan akan dibuat bagi tempoh empat bulan sekali. Bagi tahun ini, dua fasa dilaksanakan iaitu pertama bermula Jun hingga Ogos dan fasa kedua bermula September hingga Disember.

"Dengan adanya kaedah ini ia dapat membantu penjimatan kerana mereka boleh buat perancangan lebih awal dan pengurusan kewangan ini akan lebih terancang," katanya.

Hannah berkata demikian ketika menghadiri Majlis Menandatangi Memorandum Perjanjian Penyaluran Peruntukan Kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan di MSN Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap PSK akan menerima jumlah berbeza mengikut perancangan sudah dirancang persatuan dan kaedah itu dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak.

"Kita ada jawatankuasa yang akan memutuskan perkara itu. Jadi, pengurusan PSK tak boleh guna duit ini untuk apa-apa pertandingan yang dia suka (tanpa dirancang). Jadi, semua ini akan diputuskan dahulu dalam jawatankuasa bersama MSN.

"Cuma sebelum ini, kaedah ini dilaksanakan berbentuk claim (tuntutan). Bila claim masuk lewat, bayaran balik juga lewat, dia tak boleh pusing semula kewangan itu dan bila dapat kelulusan lebih awal dan disebabkan lewat, tiket kapal terbang jadi lebih mahal," katanya.

Untuk rekod, sebelum ini, kaedah penyaluran sebegini pernah dilaksanakan oleh MSN kepada PSK untuk pelaksanaan program Kita Juara 2017.

Pada masa itu, sebanyak 42 jenis sukan terbabit sebagai persediaan ke temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Kaedah ini diteruskan sehingga tahun 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 5:42 PM