REEZAL (tengah) ketika melawat fasiliti yang disediakan untuk kegunaan atlet di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Februari lalu. FOTO Bernama
REEZAL (tengah) ketika melawat fasiliti yang disediakan untuk kegunaan atlet di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Februari lalu. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi lampu hijau kepada Majlis Sukan Negara (MSN) memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah Program Road To Tokyo (RTT), Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan secara berperingkat bermula 5 Julai.

Kesemua program itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan.

MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) juga akan mematuhi SOP Am Pengurusan bagi memastikan keperluan logistik dan venue latihan serta khidmat sokongan sains dan perubatan sukan bersedia sepenuhnya untuk atlet negara memulakan latihan harian sepenuh masa.

"Seramai 539 atlet dan 142 jurulatih dari kalangan atlet elit di bawah program RTT, Podium dan Pelapis Kebangsaan akan dipanggil semula menjalani latihan harian secara sepenuh masa di semua pusat latihan yang ditetapkan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, ABM Bukit Kiara, Kompleks Sukan MSN Keramat dan Pusat Pelayaran MSN Langkawi.

"Sementara itu, seramai 135 atlet para dan 31 jurulatih daripada program RTT dan Podium akan diminta untuk melaporkan diri ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan pada 5 Julai ini untuk memulakan latihan sepenuh masa," kata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan.

Reezal juga mengarahkan pihak MSN dan ISN bersama persatuan sukan kebangsaan serta barisan jurulatih negara mengkaji semula program latihan yang sudah dirangka sebelum ini.

Ia bagi menyesuaikannya dengan perkembangan sukan masa kini yang terkesan dan mengalami pelbagai perubahan kesan wabak Covid-19 di seluruh dunia.

"Walaupun kerajaan memberi kelonggaran dan ruang yang agak luas

kepada semua untuk menjalani latihan dan bergiat aktif semula dalam bidang sukan dan rekreasi, namun pihak kementerian ingin mengingatkan dan menegaskan semua pihak terutama barisan jurulatih, atlet dan pegawai sukan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Mereka juga perlu sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan jangkitan virus Covid-19 ini berlaku di kalangan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara," kata kenyataan itu.

KBS melalui MSN sebelum ini hanya membenarkan Kem Latihan Pusat RTT bermula 1 hingga 30 Jun melibatkan 57 atlet untuk persiapan awal menghadapi temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo yang diubah ke tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 6:41 PM