KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato' Ahmad Shapawi Ismail ditemui media selepas mesyuarat eksekutif MOM di Wisma MOM. - Foto Owee Ah Chun
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Dato' Ahmad Shapawi Ismail ditemui media selepas mesyuarat eksekutif MOM di Wisma MOM. - Foto Owee Ah Chun
Aziman Rosdi


KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil alih Program Podium daripada Institut Sukan Negara (ISN) meskipun menerima desakan pelbagai pihak.

Beliau berkata, tiada sebab untuk perubahan dilakukan selepas dua tahun Program Podium diperkenalkan kerana ia kini berada di landasan tepat.

“Menerusi gesaan yang dibuat untuk MSN mengambil alih Program Podium, saya menegaskan tidak ada langsung hasrat untuk kami mengendalikan Program Podium kerana apa yang sudah ditetapkan dua tahun yang sudah adalah ISN membantu menguruskan Program Podium manakala MSN menguruskan program lain.

“Kita juga ada program yang akan kita laksanakan, Program Pelapis, Program Kita Juara dan sebagainya, itu salah satu beban tugas dan tanggungjawab sangat besar, saya harap tak ada isu dibangkitkan mengenai pengambilalihan Program Podium,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat ahli lembaga eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini.

Kegagalan atlet Program Podium menyerlah pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berakhir kelmarin mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Pengarah MSN, Datuk Mazlan Ahmad yang menganggap kutipan tujuh pingat emas adalah satu kegagalan walaupun mengatasi pencapaian enam emas di Glasgow empat tahun lalu.

Beliau berkata, tindakan drastik perlu dilakukan dengan MSN mengambil alih peranan ISN dalam mengendalikan Program Podium.

Shapawi bagaimanapun menafikan pandangan itu dengan menjelaskan keutamaan ketika ini adalah untuk meningkatkan kerjasama antara MSN, ISN dan MOM.

“Apa yang penting adalah kita bekerjasama dengan ISN, MOM untuk membantu atlet kita mendapatkan khidmat sokongan dan program latihan yang berkesan ke arah Sukan Asia (Indonesia). Kejayaan di Sukan Komanwel adalah kejayaan bersama, kita harap dapat perbaiki kelemahan yang ada, bukan hanya untuk atlet Program Podium tapi Program Kita Juara untuk kejayaan di Sukan Asia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 11:23 PM