HANNAH (tengah) hadir pada Program Train-the-Trainee for Clinical Directors and Healthy Athletes di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
HANNAH (tengah) hadir pada Program Train-the-Trainee for Clinical Directors and Healthy Athletes di Melaka. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Atlet baharu akan terus dikenal pasti bagi membolehkan mereka menyertai Olimpik Khas untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Malah kejayaan atlet negara di Sukan Olimpik Khas Berlin 2023 bagi orang kurang upaya (OKU) intelek amat membanggakan Malaysia.

Kejayaan kontinjen negara meraih empat emas, lima perak dan lapan gangsa pada temasya yang menghimpunkan lebih 7,000 atlet membabitkan delegasi dari 190 buah negara itu jelas satu perkembangan sihat untuk atlet kategori berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, mulai tahun ini Olimpik Khas disenaraikan dalam Majlis Sukan Negara (MSN) sekali gus membolehkan keperluan dan bantuan yang bersesuaian diberikan kepada mereka terutama ketika atlet mewakili negara.

"Kini kita ada jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dan bersama kementerian lain untuk melihat masalah sistem yang ada dan bagaimana kita boleh atasi di peringkat atas.

"Saya akan bawa perkara terbabit dan berbincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan kem kesihatan supaya `screening' juga dapat dilaksanakan setiap tahun kepada semua kanak-kanak pendidikan khas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:53 PM