LOGO Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
LOGO Sukan Olimpik Tokyo 2020. FOTO AFP
Oleh Mohd Zaini Othman

'Tiga! Itu sasaran rasmi kutipan pingat yang Malaysia sasarkan untuk dituai kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo yang bermula esok. Pengumuman itu dibuat Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican.

Malah, beliau menganggap sasaran itu realistik dengan mengambil kira faktor cabaran besar yang terpaksa diharungi atlet terutamanya tidak dapat menjalani latihan seperti biasa dan tidak dapat pendedahan melalui penyertaan kejohanan kompetitif bagi meningkatkan daya persaingan mereka.

Berdasarkan tiga pingat yang disasarkan, satu daripadanya termasuk pingat emas yang sudah lama negara nantikan.

Atas kertas, dua atlet negara iaitu jaguh basikal trek, Datuk Azizulhasni Awang atau ratu terjun negara, Pandalela Rinong adalah ayam tambatan negara untuk menamatkan penantian Malaysia meraih emas sulung pada temasya terbesar dunia itu berdasarkan prestasi semasa masing-masing.

Selain acara lumba basikal (trek) dan akuatik (terjun), badminton juga antara acara yang diletakkan harapan mampu menyumbang pingat buat negara.

Penulis meyakini semua atlet yang mewakili negara ke Olimpik Tokyo berada dalam motivasi tertinggi membawa obor Malaysia ke negara matahari terbit itu.

Masing-masing pastinya menyimpan harapan untuk mencipta kejutan menyumbang pingat walaupun tidak diletakkan dalam sukan sasaran oleh Kementerian Belia dan Sukan.

"Sudah pastinya gelaran itu menyuntik lagi semangat saya untuk merealisasikan impian negara memburu pingat emas pertama dalam temasya terbesar dunia (Sukan Olimpik)."

Itu reaksi The Pocket Rocketman, Azizulhasni Awang apabila dikurniakan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk.

Menjadi atlet Olimpik pertama kelahiran Terengganu yang mendapat gelaran itu, anak muda kelahiran Dungun berusia 33 tahun ini sememangnya layak menerima pengiktirafan sebesar ini atas sumbangan dan kejayaan hebat beliau, khususnya di pentas antarabangsa.

Penganugerahan ini secara tidak langsung menghargai jerih perih dan titik peluh beliau mengayuh siang serta malam selama 15 tahun terbabit dalam sukan berbasikal.

Tempoh 15 tahun bukannya tempoh masa pendek dan selama itu jugalah begitu banyak dan besar pengorbanan dilakukannya.

Bukan sahaja beliau, insan terdekat dengannya juga 'terpaksa' ikut berkorban untuk melihat Azizulhasni 'mengayuh' ke puncak kejayaan. Antara kejayaan manis beliau hadiahkan buat negara adalah pingat gangsa acara keirin dalam temasya Olimpik Rio 2016 dan juara dunia keirin 2017.

Azizulhasni atau Jijoe bukanlah atlet pertama yang ketika masih 'berkhidmat' menerima gelaran Datuk. Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David memecah tradisi ini terlebih dahulu apabila menerima gelaran Datuk pada 2008.

Pada kelazimannya sebelum ini, atlet negara menerima penghormatan seumpama itu setelah mereka bersara.

Malah, Lee Chong Wei dan Nicol David, masing-masing menerima dan membawa gelaran Datuk ketika mereka masih muda iaitu berusia sekitar 25 hingga 26 tahun.

Untuk ratu terjun negara pula, Pandalela Rinong, 28, menghadirkan keyakinan negara 'ada keajaiban' akan diciptakannya di Tokyo selepas menjadi pemenang pingat emas tunggal Malaysia dalam Kejohanan Piala Dunia Terjun Fina di Jepun baru-baru ini.

Anak kelahiran Sarawak ini mencipta rekod peribadi pertamanya di Sukan Olimpik apabila memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform individu di Olimpik London 2012 dan pingat perak bagi acara 10 meter seirama bersama gandingannya, Cheong Jun Hoong di Olimpik Rio 2016.

Di Tokyo kali ini, Azizulhasni akan beraksi dalam acara keirin dan pecut individu manakala Pandalela akan menyertai acara 10 meter platform individu dan seirama bersama Leong Mun Yee.

Kerajaan sentiasa menghargai kejayaan besar yang dirangkul atlet kita melalui pelbagai insentif diberikan dan antaranya Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) yang sedia menanti apabila mereka pulang kelak bersama pingat.

Hakikatnya melalui sistem kejurulatihan yang mantap, pendedahan meluas dalam pelbagai kejohanan dan disiplin tinggi atlet itu sendiri sebagai kunci utamanya, sudah terbukti atlet kita pada usia yang masih muda sudah berada di puncak dunia.

Apabila mereka sudah berjaya, hargai kejayaan mereka ini dengan cara yang selayaknya dengan pemberian insentif dan inisiatif lain yang difikirkan bersesuaian termasuk penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang selayaknya.

Dengan melihat ufuk yang lebih luas, janganlah dilihat dan dinilai kejayaan seseorang itu ketika mereka sedang menjulangnya, tetapi renung juga kembali pengorbanan yang sudah mereka lalui untuk menuai hasil pada masa kini.

Setiap pengorbanan akan memberikan hasil yang manis di kemudian hari, buat semua atlet negara yang akan membawa nama negara ke Tokyo, selamat berjuang, Demi Malaysia!

Penulis Timbalan Pengarah di Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 6:15 AM