MSN bersama Mas akan menstruktur semula sistem kejurulatihan skuad terjun. FOTO OSMAN ADNAN
MSN bersama Mas akan menstruktur semula sistem kejurulatihan skuad terjun. FOTO OSMAN ADNAN

Zulkarnain Azman

[email protected]

Kuala Lumpur: Segala keputusan berkaitan perubahan barisan kejurulatihan skuad terjun negara hanya akan ditentukan selepas pelantikan pengarah teknikal yang baharu.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (Mas), Andy Low berkata, ketika ini pihaknya tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa menukar jurulatih memandangkan temasya Sukan Asia kini tinggal hanya dua bulan lagi.

"Apa yang Jefri (Ngadirin) mahu cakap adalah perlantikan Pengarah Teknikal atau Pegawai Prestasi Tinggi. Sebab kedua-dua jawatan ini memang masih kosong ketika ini.

"Untuk rombakan jurulatih mungkin kita kena tunggu Pengarah Teknikal masuk terlebih dahulu Sebab kita mahu keputusan itu dibuat bersamanya, persatuan, MSN dan ISN.

"Sebab kita tidak mahu kalau tukar jurulatih nanti dia akan bagi kesan kepada kita terutamanya ketika ini mereka sedang melakukan persiapan Sukan Asia," katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri berkata, pihaknya bersama Mas akan menstruktur semula sistem kejurulatihan skuad terjun dengan membawa pengarah teknikal, pengurus prestasi tinggi dan ketua jurulatih baharu.

Katanya, ketiga-tiga posisi berkenaan akan diisi dalam masa terdekat dalam usaha untuk kembali mengangkat semua prestasi penerjun negara yang ketika ini dilihat mengalami kemerosotan.

Dalam pada itu ketika ditanya berkenaan calon pengarah teknikal baharu, Andy memberitahu ketika ini pihaknya menerima enam resume yang mana kesemuanya warga tempatan dan juga mereka yang pernah beraksi di Sukan Olimpik.

Jelasnya, kesemua individu yang memohon jawatan itu akan ditemuduga bermula 1 Ogos ini dan dijangka bakal memulakan tugas pada Awal September.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2023 @ 3:40 PM