EMPAT calon itu juga mempunyai pengalaman melatih perenang bermula dari peringkat remaja. FOTO/NSTP
EMPAT calon itu juga mempunyai pengalaman melatih perenang bermula dari peringkat remaja. FOTO/NSTP
Ferzalfie Fauzi


KUALA LUMPUR: Empat senarai pendek calon jurulatih baru skuad renang negara mempunyai kredibiliti tinggi apabila ada antara mereka pernah melahirkan juara dunia.

Perkara itu disahkan Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Negara (ASUM), Mae Chen yang mengakui empat calon itu juga mempunyai pengalaman melatih perenang bermula dari peringkat remaja, pembangunan hingga bergelar juara dunia.

“Kami sudah membentangkan kepada MSN (Majlis Sukan Negara). Jadi selepas ini kami akan duduk bersama dan berbincang untuk memutuskan siapa calon sesuai,” katanya pada bengkel penetapan program latihan 2019 di Bukit Jalil, hari ini.

Jelasnya, sukar untuk mendedahkan siapa antara calon pernah melatih juara dunia kerana mereka menerima permohonan seramai 32 orang hingga hujung September lalu.

“Apa yang pasti ada antara mereka pernah melahirkan jaguh dunia namun saya tidak dapat mengingatinya. Terlalu ramai calon dan resume mereka sangat panjang.

“Jawapannya masih belum diperoleh tunggu hingga ia diputuskan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail,” kata Mae.

Selepas 10 tahun bersama skuad renang negara, Paul Birmingham menghantar surat peletakan jawatannya Jun lalu dengan tugas terakhirnya pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dua bulan kemudian.

Sementara itu, Shapawi berkata, mereka akan berbincang dengan ASUM pada mesyuarat jawatankuasa kerja sebelum membuat keputusan siapa menggantikan Birmingham.

“Mesyuarat itu akan diadakan awal Januari depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 1:00 AM