NORZA ZAKARIA
NORZA ZAKARIA
Farah Azharie


KUALA LUMPUR: Walaupun menyambut baik peruntukan RM100 juta untuk arena sukan negara, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Norza Zakaria bagaimanapun mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah pantas dalam membuat perancangan terbaik mengenai pengurusan dana berkenaan.

Bimbang berdepan kekangan masa, Norza menjelaskan mengenai kepentingan kesinambungan terutama apabila banyak kontrak (atlet, jurulatih dan pegawai) akan tamat pada penghujung tahun ini.

“Bagi pihak MOM dan NSA (Persatuan Sukan Kebangsaan), kami ingin kerajaan membuat keputusan pantas mengenai butiran pembiayaan dan perancangan kerana harus diingat, apabila anda bercakap mengenai sukan, perkembangan, program elit dan bagaimana kita membahagikannya.

“Kami juga ingin tahu dari segi kesinambungan kerana banyak kontrak tamat pada akhir tahun ini termasuk atlet, jurulatih mahupun pegawai. Saya fikir mereka semua menunggu berita ini daripada kementerian,” kata Norza.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu juga berkata mereka bersedia untuk membantu KBS dengan sebaik mungkin jika dipelawa untuk berbuat demikian.

“Jika bantuan kami (diperlukan), kami mengalu-alukan sebarang jemputan oleh KBS bagi menangani isu ini dan ia sangat penting kerana hanya ada satu tahun dan lapan bulan sebelum ke Sukan Olimpik (2020 di Tokyo),” kata Norza.

Sementara itu, Norza juga mengingatkan KBS untuk tidak meminggirkan sukan lain yang tiada di Sukan Olimpik walaupun sebahagian besar belanjawan yang diperuntukkan bagi membantu Malaysia memenangi pingat emas Olimpik pertama.

“Kita tidak sepatutnya mengabaikan atau meminggirkan sukan lain yang tiada di Sukan Olimpik, kita mesti memberi perhatian yang sama (kedua-duanya).

“Ia kerana program pembangunan harus diteruskan kerana NSA mempunyai program jangka pendek, sederhana dan panjang,” kata Norza yang turut menggesa sektor korporat untuk membantu Malaysia merealisasikan impian Olimpik. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 November 2018 @ 3:03 PM