ANWAR Ibrahim menerusi pembentangan bajet 2024. FOTO NSTP
ANWAR Ibrahim menerusi pembentangan bajet 2024. FOTO NSTP
Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kerajaan ternyata serius mahu memastikan atlet negara menyinar di peringkat antarabangsa apabila memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuhkan ekosistem atlet yang berada di bawah program podium.

Malah RM20 juta daripada peruntukan yang disediakan itu akan dibelanjakan khusus kepada inisiatif Road to Gold (RTG) dalam usaha merealisasikan impian menggenggam emas pertama negara terutamanya di pentas Olimpik Paris 2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan bajet 2024 turut memuji kejayaan wira tanah air yang mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou dengan menggenggam 32 pingat sekali gus melepasi sasaran ditetapkan iaitu 27 pingat.

"Tahun hadapan, Kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium. Ini termasuklah RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

"Selain untuk menjadi aktif dan cergas, sukan juga ialah medan penting yang membina keakraban rakyat Malaysia. Walau berbeza kaum dan agama, kita tidak sedikit pun memadam kesemarakan semangat kesukanan," katanya.

Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM50 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia serta sukan di seluruh negara.

Pada masa sama, geran padanan RM50 juta disediakan bagi menggalakkan lagi penganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh organisasi dan sektor swasta.

"Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000. Pelepasan ini juga akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

"Bagi melahirkan generasi masa depan yang berpengetahuan berkemahiran dan berbakat dalam sukan, Kerajaan bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 6:34 PM