Amirul Fazli Zulkafli


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan 4.5 juta penyertaan pada Hari Sukan Negara 2023 (HSN) di seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kehadiran ramai orang menunjukkan agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober semakin mendapat sambutan daripada masyarakat.

HSN 2023 peringkat kebangsaan yang diadakan di Istana Kehakiman mendapat sambutan 30,000 peserta yang hadir.

"Jumlah penyertaan kita sasarkan seluruh Malaysia berjalan serentak lebih 4 juta kecuali di Sarawak yang akan diadakan pada 28 Oktober sebab menghormati tarikh lahir TYT (Yang di-Pertua Negeri Sarawak) mereka.

"Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga mengucapkan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana prihatin terhadap sukan dalam pembentangan belanjawan semalam," katanya ketika hadir Hari Sukan Negara di perkarangan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Sebanyak 66 acara dan aktiviti menarik diadakan bermula dari 13 hingga 15 Oktober seperti Jelajah Fit Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023, bola keranjang 3X3, sukan elektronik, karnival sukan Orang Asli termasuk pameran jabatan serta agensi kerajaan.

Bagi memeriahkan hari HSN 2023, program dan aktiviti mesra OKU diwujudkan untuk kanak-kanak dan warga emas seperti Karnival Inspire OKU Aktif, Active Ageing, sukaneka dan sebagainya.

Terdahulu dalam pembentangan belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM72 juta bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium termasuklah RM20 juta di bawah inisiatif Road to Gold (RTG) sebagai persediaan untuk menggapai pingat emas pertama menjelang temasya Olimpik Paris 2024.

Selain itu, RM50 juta diperuntukan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia serta sukan di seluruh negara di samping pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

Kerajaan turut bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang diluluskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 2:32 PM
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan HSN 2023 peringkat kebangsaan di Putrajaya. - Foto ihsan FB Anwar Ibrahim
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan HSN 2023 peringkat kebangsaan di Putrajaya. - Foto ihsan FB Anwar Ibrahim