NORZA Zakaria. FOTO Aizuddin Saad
NORZA Zakaria. FOTO Aizuddin Saad
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tiga temasya besar tahun depan tanpa peruntukan sewajarnya jelas sekali membimbangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan persatuan sukan.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, persatuan sukan meluahkan kekecewaan dan risau jika peruntukan dipotong ataupun langsung tiada dalam mempersiapkan atlet menjelang Sukan Sea, Komanwel dan Asia tahun depan.

"Ketika negara lain sedang fokus (persiapan) persatuan masih lagi kabur mengenai peruntukan, sedangkan sebelum ini kita mempunyai Program Podium yang diperkenalkan pada 2015 dan memberi impak sebelum ia dihentikan," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM Ke-199.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui bahawa mereka tidak mahu perkembangan sukan negara yang sepatutnya berkembang positif ke depan, mundur semula ke belakang.

"Kita akan merayu kepada menteri dan kerajaan agar sukan diberikan hak kerana ia memberikan peranan penting dalam pembangunan negara. Ada persatuan mengakui mereka menerima surat yang mengatakan atlet mereka sudah diberhentikan daripada program ternetu, ada juga yang meminta peruntukan tapi tidak dapat.

"Jadi banyak kebimbangan mengenai peruntukan terutama menjelang 2022. Sedangkan mereka perlu mempersiapkan atlet untuk Sukan Sea, Komanwel dan Asia. Majlis MOM melihat perkara ini perlu diperjelaskan sebaiknya. Ini disebabkan atlet sudah menghabiskan masa ketika gelembung sukan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ini akan memberikan tekanan dari segi mental buat mereka jika diberitahu dana dipotong ketika mereka sedang membuat persediaan, ia tidak adil buat mereka," kata Norza.

Tambah beliau, pemotongan dana dan pemberhentian program secara drastik adalah tidak adil sedangkan ketika PKP sebelum ini seluruh rakyat Malaysia tertumpu serta dihiburkan dengan aksi atlet negara di Olimpik/Paralimpik Tokyo.

"Sukan adalah komponen penyatuan rakyat Malaysia. Saya harap perkara ini diperincikan oleh kementerian kerana ia akan memberi pengaruh negatif dalam perancangan sukan negara terutama untuk menghadapi Olimpik Paris 2024, serta beberapa kejohanan penting tahun depan," katanya.

Sukan Sea Vietnam 2022 bakal berlangsung 12 hingga 23 Mei, sebelum diikuti dengan Komanwel di Birmingham 28 Julai hingga 8 Ogos, sebelum ia bersambung pula dengan Sukan Asia pada September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 7:49 PM