MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) ketika sidang media projek RTG di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Mac tahun lalu.
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (tengah) ketika sidang media projek RTG di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Mac tahun lalu.
Ferzalfie Fauzi dan Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Program Road To Gold (RTG) yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mampu mengurangkan pembaziran dan memastikan peruntukan diterima disalurkan dengan tepat kepada atlet berkelayakan.

Seperti sedia maklum, peruntukan keperluan bagi persediaan ke Sukan Olimpik menelan belanja yang bukan calang-calang, justeru RTG menyediakan kemudahan untuk membantu memberikan perkhidmatan tambahan kepada atlet ke temasya berkenaan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Zulakbal Abd Karim berkata, program berkenaan antara usaha kerajaan untuk memberi bantuan yang benar-benar diperlukan kepada atlet mempunyai prospek meraih pingat terutama emas di Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

"Program elit ini bagi membantu atlet sedia ada yang mempunyai potensi untuk dibantu dari semua sudut diperlukan. Sekiranya bantuan diberi kena pada tempatnya, insya-Allah ia dapat mengeluarkan hasil.

"Sebelum ini, atlet kita pernah meraih kejayaan di Sukan Olimpik menerusi program seumpama ini, jadi mungkin kita nampak kosnya agak tinggi, tapi itu adalah pelaburan terbaik dalam bidang sukan dan begitulah caranya," katanya.

Beliau bersetuju dengan penubuhan RTG sebagai satu usaha positif yang perlu dipertingkatkan.

Menurutnya, RTG adalah tindakan serta merta yang boleh diambil bagi memastikan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan.

"Jadi, atlet yang bakal bertanding dapat mempersiapkan diri sebaiknya menerusi sokongan diberi Majlis Sukan Negara (MSN).

"Itu langkah dan strategi paling penting tanpa menghadapi birokrasi yang banyak. Malah, ia serta-merta dapat mengatasi masalah yang wujud," katanya.

Menurut Zulakbal, secara ringkasnya dia gembira dengan inisiatif program itu dalam usaha membantu atlet serta pihak berkuasa sukan.

Katanya, apa yang penting adalah pihak sukan yang mempunyai kuasa dan punca kuasa terhadap program RTG seperti menteri, ketua setiausaha (KSU) dan pengarah perlu mempunyai sensitiviti, empati dan simpati.

"Kemudian baru apa yang dikehendaki atlet termasuk dari segi masalah, tunggangan isu atau cabaran dapat ditangani.

"Penting bagi pihak berkenaan untuk bertindak dengan pantas dalam mengatasi segala halangan, sekali gus membantu atlet lebih fokus mendapatkan pingat untuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2024 @ 9:46 PM