SKUAD sepak takraw negara sugul selepas gagal mempertahankan emas antara regu Sukan Asia. FOTO ASYRAF HAMZAH
SKUAD sepak takraw negara sugul selepas gagal mempertahankan emas antara regu Sukan Asia. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Jinhua: Thailand sekali lagi mengecewakan Malaysia di Sukan Asia 2022, kali ini menerusi acara antara regu selepas gergasi sepak takraw itu menewaskan Malaysia 15-21, 19-21 pada final antara regu, sebentar tadi.

Selepas memenangi pingat emas acara berpasukan lelaki, Thailand jelas tidak memberi peluang kepada Malaysia mempertahankan pingat emas bagi acara antara regu yang dimenangi skuad negara pada temasya 2018 di Jakarta-Palembang.

Pada aksi final di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, pengendali skuad takraw negara, Ahmad Jais Baharun menurunkan regu dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican.

Thailand pula meletakkan kepercayaan kepada trio Pansan Pichet, Yupadee Pattarapong dan Khamchan Sittipong.

Set pertama menyaksikan Thailand meraih mata pertama apabila menundukkan Malaysia 21-15 dalam tempoh 28 minit untuk meraih kelebihan memasuki ke set kedua.

Set kedua berlangsung dengan sengit apabila Malaysia memberi tentangan hebat kepada regu Thailand namun terpaksa akur tewas 19-21 dalam tempoh 30 minit.

Sebagai rekod, keputusan ini menyaksikan skuad takraw negara menamatkan kempen di Hangzhou dengan membawa pulang dua pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 10:23 AM