SKUAD negara akan turun sebagai juara bertahan antara regu. FOTO PSM
SKUAD negara akan turun sebagai juara bertahan antara regu. FOTO PSM
Syafiq Aznan


Jinhua: Thailand sekali lagi akan menjadi penghalang pingat emas buat skuad takraw negara, kali ini bagi acara antara regu yang akan berlangsung, esok.

Kedua-dua pasukan mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Gimnasium Jinhua, sebentar tadi.

Skuad negara yang dibimbing Ahmad Jais Baharun tidak berdepan masalah untuk menewaskan Filipina 2-0.

Pada aksi itu, Malaysia menurunkan regu dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohamad Syahir Rosdi untuk berentap menentang regu lawan yang menggunakan Ortouste Rheyjey, Huerte Jason dan Gabayeron Ronsited.

Regu Filipina memberi saingan agak sengit kepada regu negara sebelum Malaysia menoktahkan kemenangan 21-15 pada set pertama dalam tempoh 38 minit.

Memasuki set dua, Malaysia tidak memberi peluang kepada Filipina untuk bangkit apabila mudah menewaskan lawan 21-11 untuk mereka mengesahkan tiket ke final dalam tempoh 58 minit.

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Vietnam jelas bukan tandingan Thailand apabila mereka tewas 2-0 di tangan gergasi Asia Tenggara itu.

Thailand hanya memerlukan 28 minit untuk meraih kemenangan 2-0 ke atas Vietnam menerusi keputusan 21-5 dan 21-7.

Sebagai rekod, Malaysia adalah juara bertahan bagi acara antara regu selepas menewaskan Indonesia pada final edisi 2018 di Jakarta-Palembang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 3:41 PM