SYAHIR menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka selepas skuad negara berdepan ‘skrip sama’. FOTO ASYRAF HAMZAH
SYAHIR menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka selepas skuad negara berdepan ‘skrip sama’. FOTO ASYRAF HAMZAH
Syafiq Aznan


Jinhua: Malaysia nampaknya perlu mengakui betapa Thailand sememangnya 'abang besar' dalam sepak takraw sekali gus Malaysia perlu menerima hakikat untuk menjadi yang kedua terbaik dalam sukan itu.

Skuad takraw negara terlepas dua pingat emas di tangan Thailand pada Sukan Asia 2022 kali ini iaitu dalam acara berpasukan lelaki dan juga antara regu.

Kejayaan Thailand menundukkan skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun pada aksi final antara regu di Gimnasium Pusat Sukan Jinhua, sebentar tadi menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan pingat emas dimenangi mereka pada temasya 2018 di Jakarta-Palembang.

"Bagi saya, kita lihat Thailand memiliki kekuatan daripada segi serangan dan juga pertahanan yang agak baik. Namun pemain berusaha sebaik mungkin menterjemahkan perancangan kita walaupun agak ketinggalan pada set pertama.

"Kita cuba bangkit pada set kedua namun beberapa kontroversi sedikit sebanyak melemahkan momentum kita. Tetapi saya harapkan pemain jangan terlalu kecewa dan terus fokus pada peningkatan prestasi untuk kejohanan akan datang," kata Ahmad Jais.

Terdahulu, skuad negara yang menurunkan Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Muhammad Zarif Marican 'dilibas' 15-21, 19-21 oleh trio Pansan Pichet, Yupadee Pattarapong dan Khamchan Sittipong dalam tempoh 58 minit.

Sementara itu, tekong negara, Syahir Rosdi menyifatkan nasib tidak menyebelahi mereka selepas skuad negara berdepan 'skrip sama' di mana mereka terpaksa akur tunduk di tangan Thailand.

"Thailand memang pasukan yang kuat tetapi kami memang perang habis-habisan dan berjuang sebaik mungkin. Semangat kami tidak luntur dan sudah memberikan usaha yang terbaik.

"Cuma nasib tidak menyebelah kita dan kita tiada rezeki untuk mendapatkan pingat emas," katanya.

Pencapaian ini sekali gus membolehkan skuad takraw negara menamatkan kempen di Hangzhou dengan membawa pulang dua pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 12:29 PM