PEMAIN Thailand, Pichet Pansan melakukan rejaman sambil dihalang pemain Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin pada aksi final sepak takraw berpasukan Sukan Asia 2022. FOTO AFP
PEMAIN Thailand, Pichet Pansan melakukan rejaman sambil dihalang pemain Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin pada aksi final sepak takraw berpasukan Sukan Asia 2022. FOTO AFP
Syafiq Aznan


Jinhua: Thailand terus menjadi 'igauan ngeri' buat Malaysia selepas skuad takraw negara sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara berpasukan di Sukan Asia 2022, sebentar tadi.

Pingat perak dibawa pulang skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu selepas mereka tewas 2-0 di tangan Thailand yang juga juara bertahan pada aksi final di Gimnasium JSC, yang juga pingat perak ketiga negara di Hangzhou.

Ini secara tidak langsung menyamai pencapaian bagi acara terbabit di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang menyaksikan skuad negara ketika itu turut dikecewakan lawan sama.

Pada aksi terbabit, regu pertama negara dibarisi Muhammad Nuraizat Mohd Nordin, Farhan Adam dan Muhammad Haziq Hairul Nizam gagal menyaingi kehebatan trio Pansan Pichet,Temkort Wichan dan Khamchan Sittipong apabila tewas 15-21 pada set pertama.

Gandingan negara cuba memberikan cabaran pada set kedua namun terlalu sukar untuk mengejar regu Thailand yang berterusan menjarakkan mata sebelum akur tumbang 14-21 untuk mata pertama buat Thailand dalam tempoh 50 minit.

Regu kedua negara menampilkan Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi berjaya memberi tentangan sengit kepada trio Jantarasena Varayut, Yupadee Pattarapong dan Sakha Siriwat namun selepas hilang kedudukan selaku pendahulu, mereka 'tenggelam' dan tewas set pertama 13-21.

Tekanan jelas memuncak buat regu kedua negara yang perlu menang untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, sebaliknya Thailand mengesahkan pingat emas menerusi kemenangan 21-18 pada set kedua.

Sebagai rekod, Thailand meneruskan dominasi dalam acara berpasukan lelaki di Sukan Asia dengan pingat emas ini adalah emas ketujuh berturut-turut dimenangi mereka dalam temasya terbabit bermula 1998 di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 4:10 PM