JUWAIDI semakin membara. FOTO World Archery
JUWAIDI semakin membara. FOTO World Archery
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pemanah compound negara, Mohd Juwaidi Mazuki berjaya mara ke separuh akhir Kejohanan Piala Dunia Memanah di Antalya, Turkiye semalam.

Pada aksi suku akhir, Juwaidi tidak berdepan masalah untuk menumbangkan wakil India, Ojas Pravin Deotale menerusi keputusan 150-148.

"Cuaca di sini panas tetapi markah yang diperoleh saya lebih panas apabila berjaya mendapat markah sempurna 150 berturut-turut.

"Markah itu berjaya melayakkan saya ke peringkat separuh akhir pada Sabtu ini yang juga acara akhir," tulisnya di Facebook.

Menanti Juwaidi di pusingan separuh akhir ialah pemanah Slovakia, Jozef Bosansky yang mara selepas menundukkan wakil India, Rajat Chauhan dalam aksi tie breaker (9-10) selepas kedua-dua terikat 140-140.

Dalam perkembangan sama, pasukan memanah wanita kebangsaan berjaya memadamkan rekod lama kebangsaan yang dicipta di World Cup Stage 1 Shanghai 2017 iaitu 1898 mata.

Pasukan yang diwakili Syaqiera Mashayikh, Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini dan Nurul Azreena Mohammad Fazil berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan apabila mengumpul 1900 mata.

Bagaimanapun mata yang dikumpul itu tidak cukup untuk melihat trio menanah negara itu untuk berada di kedudukan podium selepas berada di kedudukan ke-16 secara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 1:58 PM