Pelumba Malaysia, Izzat Hilmi Abd Halil pada LTdL tahun lalu.
Pelumba Malaysia, Izzat Hilmi Abd Halil pada LTdL tahun lalu.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pelumba skuad kebangsaan, Izzat Hilmi Abdul Halil sekali lagi mempamerkan kehebatannya bersaing dengan pelumba berpengalaman antarabangsa semalam selepas menduduki tempat kelima peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023.

Ini bermakna pelumba berusia 28 tahun itu meninggalkan catatan manis baik pada aksi pembukaan mahu pun penutup pada perlumbaan edisi ke-27 apabila di peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu dia berjaya meraih tempat keempat.

Mengimbas kembali prestasinya tahun ini, Izzat menambah dia berpuas hati dengan prestasinya pada edisi tahun ini kerana dia merasakan ada peningkatan berbanding tahun lalu.

"Saya mendapat penamat 10 terbaik tahun lalu dan tahun ini saya berjaya mencatatkan dua penamat lima teratas. Ia atas dedikasi tanpa henti dan saya sentiasa meningkatkan kemahiran di pentas LTdL," katanya.

Ujarnya, tanpa bantuan rakan sepasukan dia tidak mampu mencapai keputusan terpuji di LTdL 2023 terutama di peringkat pertam dan terakhir semalam dari Setia Alam ke Menara Berkembar Petronas (KLCC).

"Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka sepanjang peringkat kelapan (semalam), mereka mengekalkan rentak kayuhan yang tidak henti-henti dan percubaan memisahkan diri sejak awal dilakukan oleh lima hingga enam pelumba," katanya.

Tahun lalu keputusan terbaik yang pernah dicatat pakar pecut itu ialah menduduki tempat ke-10 dari Kuala Klawang ke Raub, sebelum meraih kedudukan ke-11 peringkat keenma dari George Town ke Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 2:24 PM