AIMAN meraih Jersi Merah (Raja Bukit) pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di Dataran Shahbandar. FOTO ASWADI ALIAS
AIMAN meraih Jersi Merah (Raja Bukit) pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 di Dataran Shahbandar. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Terengganu: Hasrat Terengganu Polygon Cycling (TSG) untuk mencari penamat podium di laman sendiri sejak 2011 tidak kesampaian apabila berakhir peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 187.4 kilometer (km), hari ini.

Perlumbaan yang berakhir di Dataran Shahbandar dan jarak paling jauh untuk edisi kali ini dimenangi jaguh pecut Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn, manakala tempat kedua milik, Sasha Weemaes dari Human Powered Health dan ketiga diraih Gleb Syritsa (Astana Qazaqstan Team).

"Saya berasa selesa dan gembira, ia persaingan pecutan yang mencabar selepas saya kehilangan bantuan daripada rakan sepasukan, Maikel Zijlaard. Bagaimanapun, saya mampu melakukan kayuhan solo untuk menuju garisan penamat," kata De Kleijn.

Bagaimanapun, kekecewaan TSG diubati dengan Muhammad Nur Aiman Zariff meraih Jersi Merah (Raja Bukit).

Aiman berjaya menjadi pelumba pertama melintasi zon pendakian di Jerangau di kilometer 95.9km tatkala pelumba Thailand Continental Cycling Team, Sarawut Sirironnachai di kedudukan kedua.

Ia membolehkan Aiman meraih dua mata sebelum menambah satu lagi mata di zon pendakian kedua di Sekayu (113.3 km) selepas menjadi pelumba kedua tiba di belakang, Tegshbayar Batsaikhan (Roojai Online Insurance).

"Memang saya pelan untuk mengambil kedua-dua mata dua dua zon pendakian berkenaan cuma di Sekayu, Batsaikhan pergi secara mengejut, tapi saya tak cuba mengejar dia, cukup hanya menjaga posisi bagi menambah mata," kata penyandang Jersi Merah itu.

Sementara itu, pelumba skuad kebangsaan, Izzat Hilmi Abdul Halil muncul sebagai pelumba terbaik negara selepas menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia milik Batsaikhan, manakala Raja Pecut disandang De Kleijn selepas mengumpul 15 mata.

Esok perlumbaan peringkat kedua akan bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu sejauh 186.2 km.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 5:00 PM