SHAIFUL Adlan mendapat sokongan daripada peminat ketika mendaki ke Genting Highlands, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
SHAIFUL Adlan mendapat sokongan daripada peminat ketika mendaki ke Genting Highlands, hari ini. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Genting Highlands: Selepas kecewa di peringkat ketiga dari Jeli ke Baling akibat mengalami kekejangan otot, pelumba skuad negara, Muhammad Shaiful Adlan Mohd Shukri menebusnya dengan menjadi pelumba Malaysia pertama tiba di pendakian Genting Highland di peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, hari ini.

Menurut pelumba berusia 25 tahun itu, dia sangat berpuas hati menjadi pelumba pertama negara tiba di garisan penamat yang berketinggian 1,625 meter (m) dengan menduduki tempat ke-33.

"Sebenarnya pada peringkat ketiga saya cuba untuk mendapatkan Jersi Putih (Terbaik Asia), malangnya pada 30 kilometer (km) menuju ke garisan penamat saya mengalami kekejangan," katanya selepas menamatkan perlumbaan sejauh 126.4km dengan catatan masa tiga jam 31 minit 23 saat (s).

Ujar bekas pelumba Sapura Cycling Team (TSC) itu, pada perlumbaan hari ini, dia lebih fokus dan sedar akan tanggungjawab sebagai pelumba pendaki.

"Saya sedar perlu menggalas tanggungjawab sebaik mungkin pada peringkat kelima kerana empat hari sebelum ini laluan landai dan beralun dan kami lebih fokus kepada pakar pecut, Izzat Hilmi Abdul Halil, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Zulhelmi Zainal.

"Bagi peringkat hari ini fokus lebih terarah kepada saya serta rakan sepasukan seperti Muhammad Zawawi Azman dan Muhsin Al Redha Misbah, jadi kami bertiga kena mainkan peranan," katanya.

Pasukan Malaysia sepatutnya berlatih sebanyak dua kali mendaki Genting Highlands, namun perancangan mereka terencat apabila pihak pengurusan tidak membenarkan mereka melakukan pendakian kali kedua.

"Semestinya latihan mendaki Genting Highlands ini membantu saya, walaupun kami sepatutnya melakukan dua kali pendakian.

"Selepas selesai latihan pertama kami tidak dibenarkan menjalani latihan kedua.

"Ia disebabkan pihak pengurusan hendak membetulkan jalan bagi persediaan perlumbaan LTdL," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 6:51 PM