PASUKAN lebuh raya negara akan cuba yang terbaik di LTdL 2023. FOTO SUKHAIRI THANI
PASUKAN lebuh raya negara akan cuba yang terbaik di LTdL 2023. FOTO SUKHAIRI THANI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bukan sesuatu yang mustahil untuk skuad berbasikal kebangsaan merebut jersi putih selaku pelumba terbaik Asia pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bermula 23 September ini.

Ketua jurulatih berbasikal lebuh raya negara, Mohd Yusof Nasir berkata, barisan pelumba negara perlu mengambil inspirasi daripada negara jiran, Thailand, yang pernah menaiki podium selaku pasukan terbaik.

"Saya rasa (sasaran) realistik sebab pasukan Thailand pernah naik podium untuk anugerah pasukan terbaik, jadi kenapa kita tidak boleh?.

"Kita dan Thailand bukanlah jauh beza, kita akan cuba yang terbaik. Saya tak berani janji tapi apa yang mampu katakan adalah mereka akan memberikan saingan kompetitif sebab mereka mahukan kemenangan," katanya pada sidang media pengenalan pasukan kebangsaan di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Malaysia mempertaruhkan enam pelumba diketuai bekas pelumba pasukan Sapura Cycling (TSC), Mohammad Zawawi Azman, Izzat Hilmi Abdul Halil, Zulhelmi Zainal, Shaiful Adlan Shukri, Nur Aiman Rosli dan Muhsin Al Redha Misbah.

Bagi merealisasikan impian itu, Yusof berkata, dua laluan yang dilihat berpeluang untuk pasukannya mencapai sasaran berkenaan adalah ketika peringkat ketiga dari Jeli ke Baling serta peringkat kelima iaitu dari Slim River ke Genting Highlands.

"Kalau kita mahu mencabar untuk jersi, saya melihat dua peringkat itu iaitu di Genting (Highlands) serta di Jeli kerana dua laluan itu berbukit panjang.

"Tambahan kita tidak mahu ada jurang yang jauh dengan pasukan lain, jadi kita akan cuba memberikan saingan di kedua-dua peringkat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 5:37 PM