DR NAGULENDRAN bersama penaja pada sidang media majlis perasmian sambutan HSN 2023 di KBS. FOTO Bernama
DR NAGULENDRAN bersama penaja pada sidang media majlis perasmian sambutan HSN 2023 di KBS. FOTO Bernama
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mensasarkan penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2023 bulan depan mampu disertai seramai 4.5 juta orang dari seluruh negara.

Menurut Ketua Setiausaha KBS Dr K Nagulendran, HSN 2023 bagi peringkat daerah dan negeri kecuali Sarawak akan bermula 13 hingga 15 Oktober depan, manakala penganjuran bagi peringkat kebangsaan dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung pada 14 Oktober di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

"Penganjuran HSN 2023 peringkat negeri dan bahagian di Sarawak diselaraskan semula kepada 28 Oktober bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada 14 Oktober ini," katanya dalam sidang media di Menara KBS hari ini.

Ujar Nagulendran HSN adalah agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober.

"HSN berhasrat untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

"Antara objektif penganjuran HSN kali ini adalah memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas, meningkatkan pembabitan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional," katanya.

Tambahnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga mahu kesemua penyedia makanan terbabit dalam HSN 2023 menyediakan masakan sihat kepada pengunjung serta peserta bagi usaha mempromosi aspek pemakanan sihat

"Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran HSN 2023 termasuklah pelaksanaan program dan aktiviti sukan dan rekreasi di peringkat masing-masing.

"KBS turut mengalu-alukan sokongan mana-mana pihak terutamanya pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta untuk bersama menyokong dan menyertai sambutan HSN melalui kerjasama strategik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 September 2023 @ 2:26 PM