Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. -FOTO NSTP
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. -FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Pandemik Covid-19 bukan penghalang untuk rakyat Malaysia kekal cergas dan sihat apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan 2.5 juta penyertaan pada Hari Sukan Negara 2021 (HSN2021) di seluruh Malaysia.

Walaupun aktiviti sukan dan rekreasi sebelum ini agak terbatas apabila perlu mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) namun semua rakyat di negara ini juga tidak ketinggalan untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah dan kecergasan.

Berdasarkan objektif HSN2021 yang bakal berlangsung Sabtu ini, sudah tentu mahu lebih ramai penyertaan masyarakat dalam aktiviti berkenaan dengan matlamat ke arah pembudayaan sukan menyeluruh walaupun dalam tempoh pelaksanaan Program Pemulihan Negara (PPN).

Menurut Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, HSN2021 juga berperanan dalam menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui perkembangan industri sukan yang semakin pesat di negara ini.

"HSN2021 meningkatkan dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat yang pelbagai kaum supaya terus bersatu untuk terus kekal aktif dan sihat ke arah pemulihan negara yang masih berhadapan dengan penularan wabak pandemik Covid-19.

"Pembangunan industri sukan juga secara tidak langsung akan memberi peluang kepada rakyat untuk terus bersukan melalui pembelian dan penjualan barangan sukan.

"Hal ini secara tidak langsung dapat memberikan sokongan kepada ekosistem sektor sukan dan rekreasi negara," katanya.

Mengikut rekod, Hari Sukan Negara sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada pada pelbagai peringkat umur apabila kali pertama dianjurkan pada 2015 berjaya menarik penyertaan seramai 5 juta termasuk 1 juta membabitkan sekolah di seluruh negara.

Malah, penyertaan daripada rakyat Malaysia di luar negara pada ketika itu turut memberangsangkan melalui kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Luar Negeri mencatatkan penyertaan seramai 7,242 rakyat Malaysia di 76 Pejabat Kedutaan Luar Negeri.

Hari Sukan Negara 2015 juga mencipta Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai Penganjuran Aktiviti Sukan Terbanyak Secara Serentak dalam Satu Hari apabila direkodkan sebanyak 17,648 aktiviti sukan berjaya dilaksanakan.

Namun, pelaksanaan Hari Sukan Negara 2020 tidak dapat disambut disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19 yang berada pada tahap serius pada tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Oktober 2021 @ 7:08 PM