SULAIMAN (tengah) ketika pelepasan ‘Fun Run’ pada HSN Peringkat Negeri Melaka 2022 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
SULAIMAN (tengah) ketika pelepasan ‘Fun Run’ pada HSN Peringkat Negeri Melaka 2022 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Masjid Tanah: Hampir 35,000 orang terbabit dalam sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2022 peringkat negeri Melaka dalam memperkasa aktiviti sukan dan rekreasi selepas terbatas susulan penularan pandemik Covid-19.

Pelbagai acara sukan diadakan termasuk street soccer, mega aerobik, wall climbing dan flying fox extreme sports, zumba, active@martial art silambam, himpunan wanita bermotor dan aktiviti jualan.

HSN Melaka yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, turut membabitkan acara seni bela diri silat, chairobik, paintball, wushu, tarik tali, pertandingan penalti, futsal, memanah dan pameran.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kerajaan negeri bergerak seiring dengan hasrat Kerajaan Pusat yang kini berada pada landasan untuk memberikan tumpuan kepada pemulihan ekonomi sukan dan rekreasi pasca Covid-19.

Katanya, langkah proaktif diambil kerajaan akan diteruskan dengan kesinambungan program etnik seperti 'Fit Malaysia', sekali gus mengiktiraf pembabitan aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup rakyat Malaysia.

"Penganjuran HSN membuktikan sambutan hebat dan secara tidak langsung menunjukkan ramai aktif dalam sukan yang membentuk minda lebih sihat.

"HSN mampu menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum untuk terus bersatu selain kekal aktif dan sihat serta menggalakkan pembangunan ekonomi negara melalui industri sukan," katanya selepas pelepasan 'Fun Run' pada HSN Peringkat Negeri Melaka 2022 di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 6:20 PM