POELS (kiri) juarai peringkat 15 TDF. FOTO Twitter TDF
POELS (kiri) juarai peringkat 15 TDF. FOTO Twitter TDF
Agensi

Pelumba dari pasukan Bahrain Victorious, Wout Poels mencipta sensasi dalam saingan Tour de France (TDF) apabila muncul juara peringkat ke-15 sekali gus yang pertama dalam kariernya di saingan berbasikal terbesar dunia itu.

Kemenangan Poels menakluk peringkat ke-15 TDF sejauh 179 kilometer (km) itu cukup sensasi terutama ke atas dua nama besar iaitu Jonas Vingegaard dan Tadej Pogacar yang bersaing hebat merebut jersi kuning ketika ini.

Malah, insiden perlanggaran babitkan penonton dan pelumba turut mewarnai peringkat ini yang dianggap sukar khususnya di sekitar pergunungan Blank yang amat mencabar.

"Saya sentiasa bermimpi untuk memenangi peringkat di Jelajah. Terutama dengan apa yang berlaku dalam pasukan dalam tiga minggu terakhir bersama Gino, perasaan saya bercampur baur.

"Ia sungguh luar biasa. Saya memenangi peringkat ini dan kini bersedia untuk peringkat seterunya selepas ini. Terus terang, saya sangat gembira," kata pelumba berusia 35 tahun itu.

Berkongsi menegenai perlumbaan itu, Poels akui dia sudah kehilangan tenaga di hujung saingan namun atas tekad dan semangat juang yang tinggi akhirnya dia tiba terlebih dulu di garisan penamat.

"Saya mula percaya hanya pada kilometer terakhir. Saya hanya perlu terus berjuang, saya terpaksa menggunakan mengerah sepenuh tenaga. Ia menakjubkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 9:08 AM