IMPLAN gigi itu dikatakan tertusuk ke dalam rongga tengkorak lelaki berkenaan.
IMPLAN gigi itu dikatakan tertusuk ke dalam rongga tengkorak lelaki berkenaan.
Agensi

Ankara: Akibat kesilapan doktor, seorang lelaki di Turkiye, baru-baru ini, terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mengeluarkan implan gigi dari rongga pada tengkoraknya.

Metro UK melaporkan, bapa dua anak berusia 40 tahun itu pada mulanya ke sebuah klinik swasta di Bursa dan doktor yang memeriksanya memberitahu dia mempunyai gigi longgar yang perlu dicabut.

Gigi itu dicabut. Doktor kemudian mengesyorkan gigi itu digantikan dengan implan gigi.

Doktor itu mendakwa mempunyai pengalaman selama 24 tahun dalam bidang ini, kata Ramazan kepada media tempatan.

Menurut lelaki itu, ketika prosedur memasang implan gigi itu, doktor terbabit melakukannya secara manual sehingga skru menembusi tulang rahangnya.

"Saya beritahu (doktor) yang saya mendengar bunyi tulang retak, namun dia meyakinkan saya bahawa ia adalah perkara biasa," katanya.

Ramazan berkata, doktor berkenaan terus menekan skru sehingga menembusi tulang rahangnya.

Akibatnya, Ramazan menjerit kesakitan.

Ramzan kemudian dihantar ke hospital tempatan dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan implan gigi berkenaan.

Lelaki itu turut dilaporkan berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap doktor itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 4:13 PM