Nurul Izzati Mohammad Azizi menyiram air di pusara datuknya. FOTO Ihsan Nurul Izzati Mohammad Azizi
Nurul Izzati Mohammad Azizi menyiram air di pusara datuknya. FOTO Ihsan Nurul Izzati Mohammad Azizi
Redzuan Muharam


Nilai: "Saya tak meremang pun waktu dengar rakaman itu malah yakin itu suara atuk (datuk) kerana memang mirip sangat," kata Nurul Izzati Mohammad Azizi. 28, ketika mengulas suara misteri yang kedengaran dalam video dirakamnya sebelum dimuat naik di TikTok, kelmarin.

Perkongsian itu mendapat perhatian dan sehingga kini meraih lebih 512,000 tontonan.

Bercerita lanjut, Nurul Izzati yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang elektronik berkata, video itu dirakam ketika dia menziarahi pusara datuknya, Ahmadun Talib di Tanah Perkuburan Islam dekat Maran, Pahang.

Menurutnya, dia tidak sedar adanya suara misteri itu sehingga mendengar semula rakaman video berkenaan, kelmarin.

"Hari raya pertama yang lalu, saya dengan keluarga ziarah kubur atuk dan sampai di tanah perkuburan kira-kira jam 11 pagi.

"Sampai di situ, saya beri salam macam biasa dan tak dengar suara apa pun waktu itu.

"Tapi nak dijadikan cerita, saya tergerak hati nak tengok semula rakaman video itu selepas pulang dari kerja kelmarin dan terkejut selepas dengar ada suara halus jawab 'Alhamdulillah' selepas saya beri salam.

"Banyak kali saya ulang dengar sebelum kongsi dengan ahli keluarga dan mereka pun dengar dan kata itu suara atuk termasuk ibu (Norasmidah Ahmadun, 50) yang juga anak arwah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Nurul Izzati berkata, reaksi diterima bercampur baur selepas berkongsi video berkenaan di laman sosial kerana ada yang positif dan tidak kurang juga negatif.

"Ada yang percaya, tapi ada juga kata saya sunting video itu.

"Saya tak kisah kerana terpulang kepada penilaian masing-masing… saya kongsi video pun untuk kenangan, tak sangka pula boleh tular.

"Lagipun, saya memang seorang yang suka rakam video setiap kali ke kubur. Rezeki agaknya dapat dengar suara atuk walaupun dalam rakaman dan terubat juga rindu kerana sebelum ini kami boleh jumpa dan bersembang menerusi panggilan video tapi kini semuanya tinggal kenangan," katanya.

Nurul Izzati berkata, dia reda dengan pemergian datuknya yang meninggal dunia pada 22 Mac lalu akibat sakit tua.

"Saya memang rapat dengan atuk dan setiap kali cuti, saya pulang ke kampung untuk menjaganya termasuk ketika dia ditahan di Hospital Temerloh.

"Atuk pun memang sayangkan semua cucunya dan walaupun sudah besar, saya masih terima duit raya daripadanya.

"Tapi tahun ini, atuk meninggal dalam Ramadan jadi tak sempat kami semua sambut raya dengannya.

"Raya pun sepi tanpa atuk dan sebab itu, saya sekeluarga hanya balik kampung untuk ziarah kubur sebelum pulang kerana nenek pun sudah meninggal dunia empat tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 4:41 PM