PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal meraikan kemenangan ke atas pemain Serbia, Novak Djokovic pada aksi suku akhir Terbuka Perancis, hari ini. FOTO EPA
PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal meraikan kemenangan ke atas pemain Serbia, Novak Djokovic pada aksi suku akhir Terbuka Perancis, hari ini. FOTO EPA
AFP

Paris: Rafael Nadal mengatasi musuh lama yang juga pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic dalam pertarungan empat set, hari ini, untuk mara ke separuh akhir Terbuka Perancis.

Juara 13 kali di Roland Garros itu menang dalam 6-2, 4-6, 6-2, 7-6 (7/4) dalam pertarungan ke-59 dalam karier dalam masa empat jam 12 minit di suku akhir di Court Philippe Chatrier.

Nadal mengesahkan kemenangan kali ke lapan daripada 10 pertarungan di Terbuka Perancis ke atas juara bertahan itu dan akan bertemu pilihan ketiga, Alexander Zverev di separuh akhir, Jumaat ini.

"Saya sungguh emosi. Bagi saya, sungguh hebat dapat bermain di sini," kata Nadal.

"Bermain menentangnya selalunya cabaran besar. Menang ke atas Novak, hanya ada satu cara iaitu bermain pada tahap terbaik sejak mata pertama hingga tamat perlawanan."

Pemain berusia 35 tahun itu hanya tewas tiga kali daripada 113 perlawanan di gelanggang tanah liat di Paris sejak muncul juara ketika penampilan pertama pada 2005.

Dia kini hanya ketinggalan 29-30 dengan Djokovic dalam pertarungan sesama mereka.

Jaguh Sepanyol itu yang juga pilihan kelima berada pada landasan tepat untuk melebarkan rekod 22 gelaran Grand Slam selepas menjuarai Terbuka Australia, tahun ini, manakala Djokovic tidak bertanding selepas dihantar pulang kerana enggan divaksin Covid-19.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi suku akhir, Zverev bermain dengan tenang untuk membalas dendam dan menyingkirkan pemain remaja sensasi, Carlos Alcaraz.

Pada ketika majoriti penonton menyokong Alcaraz, 19, yang mencatatkan kemenangan ke-14 berturut-turut sebelum ini, Zverev membuktikan kekuatan mentalnya untuk memenangi pertarungan selama tiga jam dan 18 minit.

Awal bulan lalu, Alcaraz menewaskan Zverev yang juga juara Sukan Olimpik di final ATP Masters di Madrid dalam pertarungan terbaru mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 8:15 AM