ENGGAN Raonic jadi pemusnah impian penyokong tuan rumah.
ENGGAN Raonic jadi pemusnah impian penyokong tuan rumah.
AFP

London: Andy Murray akan memburu takhta kedua Wimbledon menentang finalis kali pertama Milos Raonic dengan pencabar gelaran itu mengambil jalan berbeza ke final di Kelab All England.

Murray menjadikan final ketiga Wimbledon dengan kemenangan selesa 6-3, 6-3, 6-3 selepas menewaskan pemain Republik Czech yang juga pilihan ke-10 Tomas Berdych, manakala Raonic mengejutkan Roger Federer dengan kemenangan sukar 6-3, 6-7 (3/7), 4-6, 7-5, 6-3, kelmarin.

Kemenangan pertama Raonic di gelanggang rumput menentang pencabar 10 teratas menjejaskan harapan Federer untuk meraih takhta Wimbledon kelapan dan ke-18 keseluruhan.

Bintang Switzerland berusia 34 tahun itu hampir menjadi finalis paling tua dalam tempoh 42 tahun tetapi Raonic yang mempunyai servis kuat bangkit untuk membalas dendam kekalahan separuh akhir Wimbledon 2014 di tangan Federer.

“Ada sedikit ruang dan saya mengambilnya,” kata Raonic, yang menjadi pemain Kanada pertama mara ke final Grand Slam.

“Impak yang besar buat Kanada. Harap-harap, ia akan menjadi lebih besar jika saya menang esok (hari ini).

“Saya berhempas-pulas sepanjang set ketiga dan keempat, dia bermain baik. Saya rasa seronok kerana dapat terus bersaing.”

Ini kali pertama sejak 2002 sama ada Federer, Novak Djokovic atau Rafael Nadal gagal ke final Wimbledon.

Berdasarkan persembahannya di Centre Court, pemain nombor dua dunia, Murray akan menjadi pilihan untuk meraih takhta Grand Slam ketiga pada final ini - tiga tahun selepas menjadi pemain British pertama menjuarai Wimbledon sejak Fred Perry pada 1936.

Murray yang tewas lapan final Grand Slam, menaruh harapan akan bernasib baik tahun ini selepas tewas Terbuka Australia dan Perancis kepada Djokovic.

Murray mendahului rekod pertemuan 6-3 menentang Raonic dengan yang terbaru, menewaskan pemain berusia 25 tahun itu di final Queen’s Club tiga minggu lalu.

“Saya sangat gembira. Mara ke final Wimbledon ini pencapaian yang baik. Saya kini hanya perlu mengharungi satu saja perlawanan lagi,” kata Murray.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:06 AM