KIM Fatt (tengah) tidak mahu atlet negara ketinggalan dalam acara sanda. FOTO HAZREEN MOHAMAD
KIM Fatt (tengah) tidak mahu atlet negara ketinggalan dalam acara sanda. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) tekad mahu memperkasakan lagi acara sanda dalam misi menjadikan Malaysia sebagai kuasa besar sukan itu di rantau Asia Tenggara.

Presiden WFM, Datuk Chong Kim Fatt berkata, ketika ini beliau melihat pasukan negara seolah sedikit kebelakang apabila beberapa negara di rantau Asia Tenggara sudah mula mencongak strategi bagi meningkatkan lagi sukan wushu.

Tegasnya, negara lain yang sebelum ini dilihat bukan kuasa besar sukan wushu terus melakukan kejutan terutama Iran apabila meraih lapan emas dalam acara sanda pada 2019 pada Kejohanan Wushu Dunia kali ke-14 di Shanghai, China dan mengutip dua emas pada Sukan Asia Jakarta 2018.

"Kita perlukan perubahan dari pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk membantu sukan wushu terutama memperkasa acara sanda ini. Kalau dilihat keputusan di Sukan Sea Kemboja, Malaysia hanya dapat dua emas dan semua negara turut ada pingat.

"Jika diikuti edisi sebelum ini, kita yang teratas kerana memperoleh empat atau lima emas. Sekarang tak boleh lagi kerana mereka mempunyai jurulatih sepenuh masa untuk jalankan program khas mereka.

"Selepas ini, kita juga nak cadangkan kepada menteri agar sukan sanda ini diperkasakan. Sebagai contoh, seperti Sukan Asia, kita ada lapan acara di sanda dan lapan taolu. Saya belum bertolak sampai Sukan Asia Hangzhou, China, skuad wushu Malaysia sudah kalah kerana kita langsung tak ada atlet, (program) memajukan sanda.

"Ini kita perlu ubah, pada temasya Sukan Sea Kemboja, Indonesia dapat dua emas dalam acara taolu. Kita pun dapat emas tetapi dalam carta pungutan pingat keseluruhan berubah kerana mereka ada enam, empat daripadanya disumbangkan merusi acara sanda," katanya

Sebelum ini sukan wushu di Malaysia lebih menumpukan acara taolu iaitu seni pertunjukkan seperti chanquan, nangun dan taijijian sehingga melahirkan juara dunia seperti Tan Cheong Min, Wong Weng Son dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 4:11 PM