KIM Fatt berjanji bahawa pihak WFM akan bekerjasama dengan MSN selaku penganjur edisi ke-20 Sukma. FOTO OWEE AH CHUN.
KIM Fatt berjanji bahawa pihak WFM akan bekerjasama dengan MSN selaku penganjur edisi ke-20 Sukma. FOTO OWEE AH CHUN.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Penggunaan Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil sebagai venue pertandingan wushu bagi Sukan Malaysia (Sukma) bermula 16 hingga 24 September ini dilihat kurang sesuai dan mempunyai beberapa kekangan.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt berkata ia kerana venue itu yang juga tempat latihan skuad kebangsaan tidak mempunyai ruang cukup besar untuk penganjuran pertandingan, lebih-lebih lagi jika membabitkan penonton.

"Untuk menganjurkan pertandingan, kita akan hadapi masalah teknikal, seperti perlukan bilik mesyuarat, teknikal, rehat dan tempat duduk penonton. Pada pendapat saya, bagi peringkat profesional, tempat ini adalah untuk latihan, bukan untuk pertandingan.

"Tetapi memandangkan Sukma kali ini berbeza dan dianjur selepas pandemik Covid-19, kita bersikap positif dan gembira kerajaan tetap menganjurkan temasya ini walaupun berdepan pelbagai kesulitan," katanya ketika ditemui pada sesi pemilihan untuk Kejohanan Dunia Remaja di venue berkenaan.

Beliau berjanji bahawa pihak WFM akan bekerjasama dengan MSN selaku penganjur edisi ke-20 Sukma, untuk menjayakan temasya tersebut.

Sementara itu, Chong berkata WFM juga telah mula mengorak langkah untuk melahirkan pemenang pingat di Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2026 di Dakar, Senegal apabila empat acara wushu bakal dipertandingkan buat julung kali pada temasya itu.

Beliau berkata pemilihan hari ini yang disertai 44 atlet dari sembilan negeri bagi disiplin taolu dan sembilan atlet mewakili tiga negeri bagi sanda turut digunakan sebagai medan mengenal pasti atlet muda untuk YOG.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 6:01 PM