Atlit wushu bagi kategori nandao, Tan Cheong Min terlepas peluang menyertai Sukan Sea selepas acaranya tidak dipertandingkan. FOTO File NSTP
Atlit wushu bagi kategori nandao, Tan Cheong Min terlepas peluang menyertai Sukan Sea selepas acaranya tidak dipertandingkan. FOTO File NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bertanding di Sukan Sea Hanoi bagaikan berperang di lautan yang belum dipetakan bagi skuad wushu negara berikutan tahap prestasi semasa atlet di rantau ini masih kekal misteri.

Ini kerana temasya dwitahunan yang bakal berlangsung pada 12-23 Mei itu akan menjadi pertandingan antarabangsa pertama untuk atlet Asia Tenggara sejak pandemik Covid-19 menghentikan kalendar sukan antarabangsa.

Memburukkan lagi keadaan, separuh daripada skuad Malaysia telah dijangkiti Covid-19 di kem latihan Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Sehubungan itu, Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt berkata badan itu akan menganjurkan pertandingan dalaman bagi 11 atlet yang menggalas tugas negara di Sukan Sea, serta turut disertai senior, pelapis dan junior bertempat di MSN bulan depan.

"Sepanjang 20 tahun pembabitan saya dalam Sukan Sea dan Sukan Asia, ini adalah kali pertama kami bertanding tanpa maklumat yang tepat mengenai pesaing dan tidak mengetahui kedudukan atlet kami untuk menentukan sasaran pingat.

Atlet wushu hanya menyertai beberapa pertandingan dalam talian dan dalaman sahaja sejak dua tahun lepas.

Jadi ujian teknikal dalaman (bulan depan) akan membantu kami mengukur prestasi atlet. Ini adalah penting kerana tahun ini adalah tahun yang sibuk dengan banyak pertandingan diadakan bermula dengan Sukan Sea," katanya.

Selain Sukan Sea, pasukan negara juga akan bersaing di Sukan Asia Hangzhou pada September; Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China (Jun); Sukan Perpaduan Islam di Turki (Ogos); Kejohanan Remaja Dunia di Tangerang, Indonesia dan Sukan Remaja Asia di Shantou, China (kedua-duanya pada Disember).

Chong berkata berdasarkan pertandingan dalaman dan dalam talian sebelum ini, atlet negara diharap dapat meraih pingat di Hanoi tetapi tidak dapat menentukan jumlah dan warna pingat.

Beliau berkata bekas Juara Dunia Wong Weng Son (jianshu lelaki) dan Juara Dunia Tan Cheong Min (nandao wanita), yang dinobatkan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020 Selasa lalu, terlepas peluang menyertai Sukan Sea selepas acara mereka tidak dipertandingkan.

Sementara itu, Chong berkata persekutuan itu perlu meningkatkan usaha pengumpulan dana, kerana mereka bukan sahaja perlu menanggung kos bagi enam atlet dan seorang jurulatih taolu dalam Kategori B, tetapi juga bagi menanggung kos untuk hakim Malaysia.

WFM akan menghantar lima atlet dalam Kategori A (kos ditanggung sepenuhnya) dan lima bagi Kategori B (kos dipulangkan jika memenangi pingat).

"Setakat ini kami masih belum memperoleh dana, kerana penyokong dan penaja yang biasanya membantu kami, terjejas oleh pandemik ini. Yuran penyertaan termasuk makanan, penginapan dan penerbangan boleh mencecah sekitar RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap atlet," tambah beliau.

Senarai atlet Sukan Sea:

Kategori A: Clement Ting Su Wei; Yeap Wai Kin (Changquan & Daoshu + Gunshu Lelaki); Tan Zhi Yan (Taijiaquan & Taijijian Lelaki); Sydney Chin Sy Xuan (Taijiquan & Taijijian Wanita); dan Kelvin Teng Kai Wen (Sanda 56kg Lelaki).

Kategori B: Calvin Lee Wai Leong (Nanquan, Nandao & Nangun Lelaki); Mandy Cebelle Chen (Taijiquan & Taijijian Wanita); Pang Pui Yee (Changquan; Jianshu & Qiangshu Wanita); Lee Jia Rong (Changquan & Daoshu + Gunshu Wanita); Chong Jian Hwa (Sanda 65kg Lelaki); dan Vicky Hwa Chang (Sanda 70kg Lelaki).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 6:10 PM